Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran menolak dakwaan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon baru-baru ini yang berkata, semakin banyak orang Cina menyokong MCA dan Gerakan menjelang pilihan raya umum ke 14.
Manogaran yang merupakan bekas Ahli Parlimen Teluk Intan itu sebaliknya menyatakan semua bangsa ‘tidak suka’ kepada kerajaan BN kerana menyebabkan kehidupan rakyat semakin sukar dengan melonjaknya harga barang keperluan harian.
“Adalah tidak benar sama sekali masyarakat Cina menyokong BN semula.
“Selepas ceramah DAP di Raub, Pahang pada 1 Januari lalu yang mendapat sambutan baik, ramai orang Cina, Melayu dan India berjumpa saya untuk memberitahu mereka marah terhadap kerajaan BN kerana menaikkan harga minyak dan minyak masak dengan mendadak sekali,” katanya.
Beliau juga menolak teori kononnya sokongan Cina untuk calon BN dalam Pilihanraya Kecil (PRK) di Sungai Besar pada Jun lalu adalah petanda kembalinya undi Cina kepada BN.
Katanya, PRK itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana umum tahu orang Cina biasanya tidak pulang mengundi untuk PRK dan orang Cina yang mengundi calon BN ialah warga emas.
Manogaran juga menegaskan sudah lebih 6 bulan sejak PRK Sungai Besar berlalu dan banyak peristiwa telah berlaku semenjak itu, terutamanya peningkatan harga barang keperluan asas.
“Justeru, berdasarkan situasi terkini, bukan sahaja orang Cina malah rakyat berbilang bangsa di negara kita sudah pun ‘bengang’ terhadap kerajaan BN kerana membebankan mereka dengan peningkatan kos sara hidup yang jelas berada di luar kawalan kerajaan,” ujarnya lagi.