Baharu sahaja 2017 membuka tirai, harga semua jenis barangan naik disebabkan kemerosotan mendadak nilai Ringgit yang kini sudah berada pada paras RM4.50 untuk AS$1 (1 Dolar Amerika).
Kerajaan BN menasihati agar rakyat tidak terlalu membeli barangan import bagi mengelakkan kesan langsung kemerosotan Ringgit. Namun bukankah barangan dapur pun banyak yang diimport?
Bagi Puan Maimunah, seorang peniaga nasi lemak di Kuala Lumpur, kenaikan harga bahan makanan berlaku walaupun seseorang cuba mengelakkan membeli barangan import kerana bawang merah, ubi kentang mahu pun cili kering tidak dihasilkan di dalam negara.
“Harga ubi kentang, bawang merah, bawang putih dan halia semua sudah melambung naik teruatamanya harga bawang putih yang kini mencecah RM15 sekilo.
“Harga barang dapur amat mahal ditambah pula dengan kualitinya yang tidak baik, terutamanya ubi kentang memang amat menyusahkan peniaga kecil seperti kami,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau menambah jika situasi seperti itu berterusan maka Malaysia akan mengalami masalah yang sama mirip beberapa buah negara di benua Afrika yang mana rakyatnya terpaksa membeli barang yang bermutu rendah.
Seorang suri rumah, Pauline Tan yang mempunyai 3 orang anak yang sedang bersekolah musykil mengapakah kerajaan BN masih tidak mahu mengaku ekonomi negara bermasalah. Pauline memberitahu, sebagai suri rumah, beliau mendapati perkara asas seperti harga ikan, sayur, daging, mihun, mi, makanan dalam tin semuanya telah melambung naik dan itu adalah indikator kemerosotan ekonomi.
Kimberly Lee, seorang ibu tunggal, 46 tahun yang mempunyai 2 orang masih bersekolah menengah memberitahu hidupnya sesara tahun 2017 kerana tiada lagi kerja tambahan dan gaji pokoknya hanya RM1,300
“Memang tidak cukup untuk sara hidup seisi keluarga kerana semua barang sudah naik.
“Mana boleh ‘survive’ dengan kenaikan gila harga minyak dan minyak masak,” katanya.
Manakala Rani, 35 tahun, seorang suri rumah di Kepong Baru menggesa kerajaan BN segera menurunkan harga barang.
“Turunkan harga barang dan kalau gagal berbuat demikian kerajaan mesti mengumumkan ekonomi negara sudah berada pada keadaan yang ‘sakit tenat'”, sinisnya.