Seorang pengkritik kerajaan Sarawak yang terkenal memuji Tan Sri Adenan Satem sebagai pelaksana reformasi meskipun berdepan halangan daripada Putrajaya, dan berkata penggantinya perlu mencontohi langkah itu jika mahu popular.
“Penggantinya akan popular jika mereka menyambung perjuangan Adenan dan menunjukkan dedikasi kepada tugas jawatan awam,” kata editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, kepada FMT hari ini.
Editor portal yang disekat pihak berkuasa kerana menyiarkan dakwaan rasuah berkata, Adenan menunjukkan beliau sanggup menangani isu yang “memberi masalah kepada negeri itu.”
“Beliau mengakuinya dan mengecam masalah pembalakan melampau akibat rasuah. Sebagai seorang anak jantan dia menggunakan jawatan awamnya untuk membaiki tadbir urus kerajaan, bukan untuk mengayakan diri secara haram,” katanya.
“Ia mungkin satu tragedi apabila Adenan memikul tanggungjawab ketua menteri pada penghujung umurnya, mengehadkan kemampuan untuk melaksanakan reformasi yang beliau katakan.”
Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Samarahan kerana komplikasi jantung. Beliau sepatutnya menyambut hari kelahiran ke-73 pada 27 Januari ini.
Populariti beliau dikatakan penyebab utama kemenangan bergaya Barisan Nasional pada pilihan raya negeri tahun lepas. Selepas itu, beliau mendesak Putrajaya mengiktiraf hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia, isu di tengah-tengah hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.