“Ramai usahawan telah hilang keyakinan terhadap senario perniagaan di negara kita kerana terdapat terlalu banyak ketidaktentuan,” kata Albert Kwok, seorang usahawan dalam bidang hartanah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dari kajian ‘The Grant Thornton International Business Report (IBR)’ yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 10 Januari lalu.
Kajian ini yang dijalankan pada bulan Oktober 2016 sehingga hujung tahun merangkumi wawancara dengan 2,600 pekerja dari golongan pengurusan atasan dan eksekutif meliputi semua sektor industri. Dapatan kajian memberitahu bahawa mereka amat bimbang terhadap kemerosotan nilai matawang Ringgit, ketidakpastian dalam senario ekonomi dan kekurangan tenaga pekerja mahir.
Laporan itu juga menyebut, faktor ‘business optimism’ (keyakinan dalam iklim perniagaan) telah jatuh daripada paras -12 pada suku ketiga (Julai hingga September) 2016 ke paras -36 pada suku keempat (Oktober hingga Disember) tahun lalu. Ini merupakan keputusan yang tercorot sekali di antara negara-negara ASEAN pada hujung suku keempat bagi tahun berkenaan.
“Kadar tukaran wang asing adalah faktor yang amat membimbangkan sekali. Pasaran tertanya-tanya bilakah kerajaan hendak mengambil langkah menangani masalah ini?
“Sampai sekarang, saya tengok tiada langkah konkrit yang diambil. Tiada ‘action'”, keluh Albert yang runsing pasaran hartanah semakin lembab pada 2017.
Selain itu, Albert juga memberi pandangan bahawa senario politik juga memainkan peranan penting dalam iklim perniagaan.
“Saya berani kata secara terus-terang saya dan rakan-rakan usahawan semuanya menyokong Pakatan Harapan kerana kita dapat perhatikan bahawa Selangor dan Pulau Pinang di bawah pengurusan PKR dan DAP telah ditadbir-urus dengan baik.
“Rakan pelabur asing juga bersetuju dengan hakikat ini dan kami semua sedang menunggu tarikh Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14). Kalau Pakatan menang, kita labur lebih banyak lagi tetapi kalau Pakatan kalah, kita membuat pertimbangan lain,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga menambah ada ramai pelabur asing yang tidak mahu menunggu PRU14 kerana menurut mereka ia adalah ‘satu mainan tarikh’ dan mereka telah mengurangkan kapasiti modal perniagaan mereka dan ada juga yang telah menutup sama sekali operasi kilang sebelum hujung tahun lalu.