Seperti insan biasa, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut ada perasaan geram apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dikecam, apatah lagi jika orang yang mengkritik itu pernah dibantu oleh ayahnya sehingga berjaya.
Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah berkata kebanyakan kecaman itu datangnya daripada sahabat lama Dr Mahathir ketika beliau masih perdana menteri.
“Bagi saya dan keluarga, perkara itu sudah jadi kebiasaan, meskipun tidak sepatutnya berlaku, nak kata macam dah lali. Dari dulu lagi sewaktu beliau (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri pun selalu dikecam.
“Rasa geram kerana kita kenal mereka ini, dulu sahabat juga. Saya boleh sebutkan satu persatu setiap orang yang kata Dr Mahathir, apa yang Dr Mahathir bantu dulu dan semua orang tahu.
“Kalau dia tidak beri ruang kepada individu itu, mereka tidak akan sampai ke tahap hari ini. Orang seperti ini yang kecam beliau,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini.
Timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian ketika diminta berkongsi perasaan apabila melihat ayahnya difitnah dan dikecam pimpinan Barisan Nasional (BN).
Katanya, walaupun beliau turut dikecam apabila menubuhkan PPBM, tetapi kecaman itu tidak seteruk seperti yang diterima ayahnya.
“Orang kata saya tiada perasaan dan tiada reaksi. Sebab dah biasa, tetapi orang lain yang terasa.
“Kawan-kawan yang selalu tanya mengapa saya tidak balas kembali tohmahan melulu itu. Saya kata, tuan punya badan lebih arif dan sudah lama dalam politik, biarlah dengan cara tersendiri untuk beliau respons.
“Saya ingat cukup setakat itu. Saya juga jadi mangsa tetapi tidaklah seteruk beliau kena,” katanya.
Mukhriz berkata berdasarkan kajian yang dilihatnya sendiri, semakin tinggi Dr Mahathir dikecam, “rating” PPBM meningkat naik.
“Itu sebab saya tidak kata apa-apa. Biarlah mereka bercakap. Mereka tidak tahu perasaan orang Melayu itu bagaimana. Saya pun hairan, mengapa Umno tidak faham isi hati orang Melayu? Begitu juga kaum lain.
“Apabila lihat orang diaibkan, rakyat simpati kepada orang diaibkan. Sekiranya Dr Mahathir mahu tahu sokongan rakyat, beliau akan berjalan ke pusat beli-belah dan sebagainya.
“Ramai bersalam, selfie dengannya dan menyatakan sokongan. Itu yang memberi keyakinan kepadanya rakyat masih menyokong. Itu yang lebih penting,” katanya.