Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengucapkan tahniah kepada penduduk Bagan Datuk khasnya dan rakyat negeri Perak amnya apabila Daerah Bagan Datuk diisytiharkan sebagai Daerah ke-12 baru-baru ini.
Menurut Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Fakruldin Mohd Hashim pengiktirafan itu sebaik-baiknya dikekalkan dengan indentiti Bagan Datuk sebagai pengeluar kelapa negara.
“Sejarah dan geografi di Bagan Datuk begitu sinonim dengan penanaman pokok kelapa apabila pada tahun 1896, syarikat perladangan Inggeris iaitu Straits Plantation Company Limited telah membuka estet kelapa di sini.
“Dengan mengambil kira peranan yang telah dimainkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) adalah wajar menjadikan Industri Kelapa dimartabatkan kembali.
“Berdasarkan Pelan Pemulihan Tanam Semula Kelapa Matag melalui pakej Rangsangan Ekonomi Kedua dan peruntukan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri hampir RM 16 juta diperuntukan bagi tujuan Projek Pemulihan penanaman pokok kelapa di sana.
“Oleh itu, AMANAH Perak yakin perancangan infra yang bakal dirancang tidak akan menjejaskan geografi persekitaran Bagan Datuk yang indah dengan pokok-pokok kelapa yang hijau dan tinggi di sekitarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.