Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad meminta kerajaan BN menjelaskan ke manakah perginya kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan sebanyak RM42 bilion sepanjang 2016 lalu.
Katanya, limpahan GST itu sepatutnya dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk peruntukan-peruntukan kepada sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
“Masalahnya, ke mana pergi kutipan GST ini yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat?
“Apa sudah terjadi kepada RM42 bilion itu? Kenapakah peruntukan untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan sudah dikurangkan?” soal beliau ketika dihubungi Suara pakatan daily.
Mengulas isu sama, Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menyeru PM Najib Razak selaku Menteri Kewangan memberikan butiran terperinci mengenai penggunaan wang GST jika tidak mahu rakyat menuduh dana itu ‘hilang entah ke mana’.
“Rakyat berhak tahu untuk tujuan apakah GST digunakan kerana ia adalah wang mereka. Satu laporan yang telus dengan fakta yang penuh perlu dibentangkan di Parlimen mengenai penggunaan cukai ini,” katanya.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas 20 orang awam di Kuala Lumpur mendapati mereka kesal kerana tidak nampak bagaimana wang cukai GST dimanfaatkan berikutan kenaikan mendadak harga minyak masak, petrol dan bahan makanan.
Mereka mendesak supaya dana GST digunakan untuk menurunkan harga barang-barang keperluan harian. Tidak kurang yang berkata sekiranya GST tidak membantu rakyat, maka cukai itu perlu dimansuhkan serta-merta.
Seorang suri rumah, Jenny Ong, 48 tahun, berkata kerajaan seolah-olah mahu rakyat mempercayai mereka kekeringan wang walaupun mengumpul hasil RM40 bilion setahun.
“Mereka hanya banyak bercakap tetapi tiada idea langsung hendak menggunakan dana itu untuk meningkatkan subsidi barangan asas keperluan rakyat. Apakah ini contoh kerajaan yang mendahulukan rakyat?” tanya beliau.