Pelbagai pihak mengkritik tindakan yang amat perlahan dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam memindah keluar rakyat Malaysia yang berada di Mesir.
Dianggarkan terdapat 10,000 rakyat Malaysia berada di Mesir, sebahagian besarnya pelajar. Kebanyakan mereka terperangkap di dua bandar besar Kaherah dan Iskandariah yang mempunyai pusat pengajian tinggi terkenal. Segelintir daripada mereka telah terputus hubungan dengan kedutaan Malaysia.
Semua itu berpunca dari sikap Perdana Menteri dan Timbalannya yang menganggap keadaan di Mesir terkawal. Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai situasi pelajar Malaysia sejak seminggu lalu menganggap mereka selamat di Mesir dan keadaan terkawal.
Manakala Perdana Menteri Najib Razak dalam kenyataan media semalam menyifatkan keadaan di Mesir adalah luar biasa. Sebenarnya, tidak ada apa yang luar biasa jika kerajaan Malaysia meneliti dengan rapi situasi di Mesir. Pada hari ketiga rusuhan, Presiden Hosni Mubarak menghantar tentera ke Dataran Tahrir lokasi utama tunjuk perasaan. Namun tentera yang dihantar ke situ dilihat membenarkan rakyat menaiki kereta kebal dan beberapa kereta perisai diconteng dengan cat dengan perkataan kebebasan.
Apabila tentera tidak bertindak kasar kepada rakyat, semua ketua negara dunia telah maklum rejim Mubarak hanya menghitung hari untuk tumbang. Sama ada Mubarak berundur secara baik atau digulingkan dengan pertumpahan darah. Situasi ini adalah ulangan apa yang telah berlaku di Romania, Filipina, Thailand, Indonesia, Serbia, Tunsia dan kini di Mesir.
Banyak bangunan dibakar, rakyat tidak takut ditembak, perompakan dan kerosakan kemudahan awam yang akhirnya menumbangkan rejim diktator. Sebab itu kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah telah memindahkan rakyatnya sejak hari keempat rusuhan. Hanya pemimpin Malaysia yang berkongsi mimpi dengan Mubarak untukmemerintah Mesir sehingga akhir hayat.
Pelan pemindahan yang diumumkan Najib semalam tidak memuaskan hati kebanyakan rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga di Mesir. Beliau menyatakan kapal tentera laut Malaysia di Teluk Aden, Yamen akan dikerah untuk membawa keluar rakyat ke Jeddah, Arab Saudi.
“Untuk menghantar penerbangan, perjalanan memakan masa satu setengah hari dan melibatkan perbelanjaan yang tinggi,” kata Najib dipetik media.
Masalahnya bukan kos yang tinggi tetapi nyawa rakyat. Makanala ibu-bapa yang anak mereka belajar di Mesir saban hari mengunjungi stesen media TV3 mempersoalkan tindakan pihak kedutaan dan sedikitnya jumlah kakitangan kedutaan, hanya beberapa puluh orang sahaja sedangkan jumlah rakyat Malaysia di Mesir ramai.
Salah seorang ibu berkata, “Lebih baik kerajaan Malaysia memberitahu ibu-bapa apa yang perlu dibuat dan menghubungi anak-anak mereka di sana. Kerana mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain dan terputus hubungan dengan pihak kedutaan”
Pelajar Malaysia di Mesir dilaporkan kekurangan bekalan makanan, terputus hubungan telefon, tidak mempunyai wang membeli makanan kerana mesin ATM dipecahkan, tidak memiliki pasport kerana diambil pihak universiti dan ketakutan terkepung di tengah-tengah rusuhan serta bunyi tembakan yang tidak henti-henti saban hari.
Kerajaan Malaysia mempunyai tempoh terhad untuk memindahkan rakyat sebelum hari Jumaat di mana tunjuk perasaan besar-besaran akan berlaku berikutan tempoh akhir yang diberi rakyat agar Mubarak meninggalkan Mesir.
Pengumuman Mubarak untuk melepaskan jawatan presiden hari ini tidak dipedulikan para penunjuk perasaan dan tuntutan mereka kekal agar diktator berumur 82 tahun itu keluar dari Mesir.