Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menolak ‘janji-janji manis’ kerajaan BN sempena perisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 di Perak.
Pengerusi Amanah Perak, Hj Asmuni Awi berkata, kebimbangan timbul kerana sebelum ini banyak projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) belum dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan mengumumkan bahawa daerah Bagan Datuk akan dijadikan sebagai Hab Pendidikan termasuk pembinaan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan oleh Kerajaan Negeri Perak, Politeknik Bagan Datuk yang bernilai RM220 juta, Pusat Mara (RM6.5 juta) dan Maktab Rendah Sains MARA (RM150 juta).
“Selain itu, beberapa projek di bawah kerajaan persekutuan yang akan dibina termasuklah jambatan yang menghubungkan Pasir Salak dan Bagan Datoh berharga RM 350 Juta serta laluan dua hala Hutan Melintang ke Bagan Datoh yang akan dinaik taraf dengan kos RM 90 Juta di samping kompleks sukan berharga RM 31 Juta.
“Manakala, Kerajaan Negeri Perak dalam pembentangan Bajet Tahun 2017 akan membangunkan Bagan Datoh Water City di daerah tersebut.
“AMANAH Perak tidak menafikan keperluan pembangunan yang ingin dibuat. Walau bagaimanapun kita menggesa supaya semua projek yg diumumkan itu benar-benar dapat dilaksanakan dan bukan sekadar taburan janji-janji kosong sahaja seperti yang terjadi kepada projek MRSM di mana sebelum ini telah dijanjikan pada tahun 2010, malangnya sehingga kini masih belum nampak bayangnya lagi.
“Kita juga ingin bertanya apakah yang terjadi kepada nasib cadangan pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tidak dimasukkan di dalam RMK-11?” katanya dalam satu kenyataan.