Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Pas merumitkan pengukuhan gabungan pembangkang dalam mendepani Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Kita mahu semua parti yang tidak bersetuju dengan Umno-BN bersama dalam satu badan gabungan. Pada waktu ini, kita dapati ada Pakatan Harapan yang mengandungi tiga parti dan Bersatu (PPBM) di luar juga Pas yang berada di luar. Seboleh-bolehnya semua parti ini perlu berada dalam satu gabungan.
“Malangnya, hari ini kita dapati parti Pas sendiri mempunyai pendirian yang menyukarkan proses perpaduan iaitu Pas menyatakan tidak akan bersama dalam satu gabungan yang terdapat DAP dan Amanah,” ujarnya dalam sesi ‘Hard Talk’: Menjana Harapan Rakyat di Ampang malam tadi.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, PPBM sedang cuba untuk meyakinkan Pas supaya berada dalam gabungan parti pembangkang yang lebih besar bagi mencapai kemungkinan untuk menang.
“Malangnya sehingga kini, kita tidak dapat persetujuan walaupun ada beberapa perbincangan yang dihadiri pemimpin Pas yang diwakili Tuan Ibrahim dan Mustafa Ali tetapi Presiden (Pas) Haji Hadi tidak dalam sebarang perbincangan.
“Mereka tidak menolak tetapi pada masa sama tidak bersetuju. Kita berada dalam keadaan serba-salah. Kita memberi masa kepada mereka dan memberi pandangan kita kepada mereka untuk berbincang,” jelasnya sempena Majlis Makan Malam anjuran Amanah Titiwangsa Seputeh itu.
Lanjut mendedahkan sikap dingin Pas, Mahathir yang baru-baru ini digelar Najib sebagai ‘jaguh U-turn’ itu bertegas bahawa PPBM akan menyertai Pakatan Harapan sekiranya Pas masih bersikap sedemikian.
“Mereka (Pas) sudah dapat syarat-syarat yang dikemukakan oleh parti Bersatu. Walaupun sekian lama, belum lagi beri jawapan tetapi hasrat parti Bersatu, jika Pas tidak hendak menyertai Pakatan Harapan ini, parti Bersatu akan berada dalam Pakatan Harapan.
“Ini bermakna dalam pilihan raya, kita mungkin tidak mendapat satu lawan satu. Kalau Pas meletakkan calon-calonnya akan ada pertandingan tiga penjuru. Besar kemungkinan mereka yang menentang BN akan berbelah bahagi antara Pakatan Harapan dengan Pas. Akhirnya, yang mendapat kemenangan BN.
“Oleh itu, kita berpendapat bahawa sesiapa yang meletakkan calon untuk memecah-belahkan pembangkang maka mereka itu sebenarnya adalah penyokong Datuk Seri Najib,” tegas Mahathir lagi. Malaysia dateline