Seorang perunding hartanah veteran memberi amaran “bandar berhantu” akan tumbuh bagai cendawan di Johor terutama di wilayah Iskandar kerana pemaju ghairah membina rumah dan bangunan komersil di kawasan itu walaupun belum tentu ada pembeli.
Juruukur bertauliah Ernest Cheong memberitahu FMT, beliau bimbang beribu-ribu unit rumah dan bangunan yang kini pesat dibina di negeri itu akan terbiar.
“Di Forest City sahaja boleh memuatkan 700,000 orang. Siapa yang akan beli? Orang Johor? Tidak mungkin,” katanya.
“Di Johor Bahru, terdapat kurang 2 juta orang tempatan. Ramai daripada mereka sudah pun memiliki rumah,” katanya.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah, dijangkakan lebih 350,000 rumah kediaman akan dibina di Johor.
Isu perumahan menjadi hangat baru-baru ini susulan kritikan terhadap Forest City, bandar berhampiran Singapura yang sedang dibina syarikat pemaju China.
Baru-baru ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek itu hanya menguntungkan rakyat asing terutama dari China dan Singapura, yang menurutnya menjadi sasaran pemaju untuk membeli hartanah di negeri itu.
Bagaimanapun, Cheong meragui ramai warga China dan Singapura akan berpindah ke situ.
“Rakyat Singapura yang kaya tidak akan berpindah ke Iskandar kerana mereka boleh berpindah ke mana-mana bahagian dunia. Mereka yang tidak kaya pula tidak akan berpindah dan membelanjakan wang banyak untuk pergi balik Singapura.”
Cheong berkata beliau tidak fikir rakyat Singapura yang mahu berhijrah menjadikan Malaysia pilihan mereka.
“Mereka akan berhijrah ke negara yang lebih maju. Mengapa pula orang Singapura yang mempunyai taraf hidup lebih tinggi mahu ke sini? Tidak masuk akal.”
Rakyat China pula, katanya, biasa memiliki hartanah di seluruh dunia dan Iskandar akan dijadikan salah satu daripada sasaran pelaburan mereka, walaupun mereka tidak mungkin berpindah.
“Jadi, walaupun kesemua unit yang dibina syarikat China itu terjual, siapa akan tinggal di situ?
“Terdapat permintaan untuk rumah mampu milik bagi penduduk tempatan, tetapi pemaju China tidak membina rumah mampu milik. Siapa yang mampu beli atau sewa rumah yang dibina mereka?” soalnya.
Cheong yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam pasaran hartanah, melahirkan kebimbangan kadar penduduk yang rendah di wilayah Iskandar akan memberi kesan terhadap nilai hartanah di kawasan berdekatan.
“Malangnya, inilah realiti pembangunan di Malaysia. Pemaju menganggap mereka boleh membina dan orang akan muncul. Mereka tidak faham, orang ramai bukan sahaja mahu rumah, mereka mahu rumah yang mampu dimiliki.” FMT