PAS perlu mengenang semula sejarah silam di mana DAP pernah membantu parti Islam itu dengan menjadi satu-satunya parti yang menentang perisytiharan darurat di Kelantan pada 1977, kata Anuar Tahir.
Setiausaha agung Amanah itu berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri sebelum ini pernah menyatakan DAP menyokong PAS ketika kejadian itu berlaku sedangkan tidak ada kerjasama rasmi antara mereka.
“Hadi pernah mengingatkan ahli PAS, parti politik yang menentang darurat diisytiharkan di Kelantan hanyalah DAP, atas prinsip pengisytiharan itu bertujuan untuk merampas kuasa dipilih rakyat.
“Padahal masa itu, PAS dan DAP tidak ada hubungan. DAP dianggap sebagai parti bukan Islam dan PAS sebagai parti Islam. Tetapi atas nama demokrasi dan prinsip, DAP satu-satunya parti yang bangun menentang,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedegilan PAS enggan menyahut salam perdamaian dihulurkan veteran DAP Lim Kit Siang untuk kembali menjalinkan kerjasama demi menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dunia.
Pada 1972, PAS pernah menyertai Barisan Nasional (BN) ketika Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun, Tun Hussein Onn kemudian menendang PAS keluar pada 1978 kerana tindakan PAS memecat Datuk Muhammad Nasir sebagai menteri besar Kelantan menerusi undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.
BN melantik Nasir untuk menerajui Kelantan dengan mengetepikan pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Akibatnya, berlaku rusuhan politik di Kota Bharu dan BN mengeluarkan perintah berkurung pada 19 Oktober 1977
Perintah darurat di Kelantan ditamatkan selepas 2 tahun dan pilihan raya diadakan pada Mac 1978 dengan kemenangan berpihak kepada Umno yang menggunakan isu pemberian konsesi balak kepada Timbermine Sdn. Bhd sebagai bahan kempen.
Akhirnya PAS hanya mampu mempertahankan 2 kerusi saja. BN berjaya membentuk kerajaan gabungan dengan Berjasa.
Anuar berkata Hadi pernah menceritakan kisah ini sewaktu beliau berada dalam PAS dan turut mengingatkan atas sebab itu, ketika DAP diserang PAS memilih untuk berbaik dengan DAP.
“Satu-satunya parti politik menentang Umno untuk menyokong kerana prinsip adalah DAP yang dituduh cauvinis. Hadi tidak akan menafikan peristiwa sejarah itu,” katanya.
Anuar berkata sikap PAS pada masa dulu dan kini jauh berbeza malah hairan dengan sikap tidak mahu berdamai yang ditunjukkan.
Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan sebelum ini mempersoalkan kenyataan Lim yang menyatakan DAP sedia menjalinkan semula kerjasama melawan BN.
Nasruddin berkata sikap DAP itu terbukti tidak jujur dan tidak sabar, malah sikap itu membuatkan DAP meninggalkan PAS serta menikam dan menyerang PAS sebanyak 2 kali. FMT