Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mempersoalkan Menteri Besar, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir yang seolah-olah tidak tahu kewujudan projek Lebuhraya Jelapang-Selama- Batu Kawan (Jelas).
Sedangkan, kata Pengerusinya Asmuni Awi, Dato’ Seri Zambry sendiri telah mengumumkan projek tersebut di beberapa buah program termasuklah semasa Majlis Jamuan Rakyat Peringkat Daerah Kecil Selama 17 Julai 2010 di hadapan Sultan Nazrin Muhibbudin Shah yang pada ketika itu sebagai Pemangku Sultan Perak.
Sebelum itu, akhbar Utusan Malaysia pada 11 Mei 2010 melaporkan, Adun Pangkor itu telah menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Persefahaman di antara syarikat yang menguruskan projek tersebut iaitu Beta Mutiara Technologies (BMT) dengan ELAF Bank Bahrain.
“Bagaimana Zambry boleh mengatakan projek ini misteri sedangkan ia dalam pengetahuan beliau selaku menteri besar.
“Saya tak kata beliau tipu, saya anggap beliau lupa,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma Amanah Perak, Ipoh , hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh dan Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak, Safarizal Saleh.
Asmuni mengakui projek tersebut sangat penting dalam meningkatkan serta menjana ekonomi penduduk di kawasan-kawasan terlibat sepanjang lebuhraya tersebut.
Jelas beliau, sekiranya berlaku masalah dalam projek tersebut, Zambry sewajarnya memberitahu tentang perkara sebenar dan bukannya menafikan kewujudan projek tersebut.
“Kami mengalu-alukan projek tersebut yang akan memberi manfaat kepada banyak pihak, beliau (Zambry) tidak sepatutnya menafikannya.
“Beliau tidak sewajarnya cuba menutup perkara sebenar tentang isu ini, saya harap Zambry bersifat Amanah dalam menjelaskan dan memberi jawapan,” katanya lagi.
Pada 21 Januari lalu, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan, kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang perakuan terhadap pelaksanaan projek lebuhraya yang menghubungkan Jelapang-Selama-Batu Kawan.
Projek lebuhraya dianggarkan bernilai RM 4.6 Bilion, ia dilengkapi dengan tiga lorong bagi setiap arah utara dan selatan.
Sepanjang lebuhraya ini akan diletakkan pencahayaan jalanan LED yang dikuasakan oleh solar dan memiliki terowong sepanjang tiga kilometer yang melalui Gunung Bintang.