Tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa pegawai kanan Felda yang disyaki terlibat dalam penyelewengan projek penternakan ikan sturgeon bernilai kira-kira AS$10 juta (RM47.6 juta) tidak menyelesaikan persoalan utama yang membelenggu agensi milik kerajaan itu.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, isu utama dalam skandal tersebut ialah persoalan sama ada Pengerusi Felda ketika dakwaan jenayah itu berlaku, Tan Sri Isa Samad mengetahui atau tidak penyelewengan orang bawahannya. Sekiranya tahu, adakah Isa telah melakukan tindakan secukupnya untuk mengatasi penyelewengan tersebut.
“Saya terpanggil untuk memberi reaksi berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan empat orang pegawai kanan Felda kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta.
“Laporan media menyebut kejadian itu berlaku sejak 2014 iaitu semasa Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda. Saya ingin mempersoal apa yang Mohd Isa buat sepanjang menerajui agensi kerajaan itu? Adakah beliau selaku pengerusi, langsung tidak mengetahui penyelewengan sebesar itu berlaku?
“Umum maklum bahawa Felda sejak dibawah Mohd Isa mengalami kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek di bawah mereka dan ianya disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015.Selain itu, terbaru beberapa kajian menyebut bahawa Felda akan kerugian sebanyak RM7.8 bilion lagi jika mengambil keputusan menyahsenaraikan FGV dari bursa saham,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut Salahuddin, Amanah menggesa satu siasatan menyeluruh dibuat ke atas pengurusan kewangan Felda termasuk semasa di bawah pentadbiran Mohd Isa.