Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa ada beberapa pimpinan PAS “mensabotaj” rundingan bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti.
Kata Dr Mahathir, antara pemimpin yang dimaksudkannya ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Menurut bekas perdana menteri itu, pemimpin PAS yang bertindak begitu “lebih teruk” daripada Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya tidak dikritik parti berkenaan atas pelbagai isu, termasuk skandal 1MDB.
“Bagi pemimpin itu – mungkin bukan pemimpin lain tetapi yang menyuarakan serangan terhadap saya – bagi dia, yang jahat adalah saya.
“Jadi saya nak tahu di mana saya jahat?
“(Adakah kerana) saya mencuri duit berbilion-bilion, ataupun saya tubuhkan syarikat berbilion-bilion, lepas itu duit hilang; ataupun saya jual negara ini kepada negara lain untuk mereka mengadakan bandar-bandar untuk orang asing ini?” katanya dipetik Malaysiakini
Selain Mohd Zuhdi, Dr Mahathir tidak menamakan sebarang tokoh PAS yang dimaksudkannya cuba mensabotaj rundingan kerjasama antara parti itu dengan BERSATU. Mkini