Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Ustaz Ahmad Awang menasihatkan pemimpin utama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar melupakan Pas dan memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, Pakatan Harapan dan Bersatu perlu meyakinan rakyat melalui satu gabungan yang kuat bagi melawan Umno-BN dan kerajaan kleptokrasi.
“Pakatan Harapan termasuklah Bersatu yang dah bersama jangan layan apa yang pemimpin Pas kata. Tak perlu dipujuk-pujuk lagi sebab kita dah jelas pendirian Pas dan mereka pun kata mereka adalah parti yang terbaik. Jadi biarlah Pas terus mengangkat partinya sendiri.
“Saya mahu pemimpin Pakatan Harapan membuktikan mereka bersatu. Kalau tak ada apa-apa hubungan dengan Pas, orang PKR tak perlu lagi berceramah dengan Pas. Orang Bersatu pun sama, tak perlu bermesra-mesra lagi,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Menurut pemimpin spiritual Amanah itu lagi, Pakatan Harapan dan Bersatu tidak harus membiarkan rakyat terus keliru dengan tindakan mereka yang tidak selari.
“Sesama pembangkang saya nasihatkan biar semuanya mempunyai satu pendirian yang tegas, hadapilah (masa) akan datang ini sama ada tiga penjuru ke empat penjuru ke, lima penjuru ke, hadapi sahaja.
“Biar Pas pandai-pandailah bersendirian atau pakat dengan Umno-BN, jangan kita campur.
“Supaya mengurangkan kekeliruan rakyat untuk memahami pembangkang. Orang tak boleh terima BN. Tapi kalau Pakatan Harapan tak menunjukkan kesepakatan betul-betul, ini satu kerugian untuk kita,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan kerjasama antara parti itu dan Pas akan ditentukan selepas 2 Februari.
Sehingga kini Pas kelihatan lunak dengan Bersatu namun menolak Amanah dan DAP.
Malah ‘salam perdamaian’ yang dihulur oleh penasihat DAP Lim Kit Siang kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat reaksi negatif daripada pimpinan utama parti itu termasuk Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.