Amanah Kelantan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri menggunakan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) untuk membeli tanah yang dikaitkan kepada tugu peringatan banjir di Kuala Krai.
Naib Pengerusi Che Ibrahim Mohamed berkata kerajaan negeri mempunyai agensi yang boleh digerakkan untuk tujuan itu.
“Objektif penubuhan YTK ialah bagi tujuan mengadakan kursus pembinaan umat, membantu pendidikan pelajar cemerlang dan pembangunan insan. Maka sebab itu kita katakan pembelian ini satu pembaziran.
“Kerajaan negeri ada agensi lain yang lebih relevan untuk membeli tanah itu,” katanya.
Menurut Che Ibrahim, kawasan itu meliputi 3 lot tanah yang secara keseluruhan berkeluasan 0.956 ekar.
“Dalam 3 lot itu PAS telah membina beberapa bangunan lain yang terdiri daripada surau, bilik gerakan PAS Kuala Krai dan dalam pada masa sama, Majlis Daerah Kuala Krai membina 5 buah gerai di atas tanah itu.
“Sepatutnya kerajaan menggunakan agensi lain, sebagai contoh Majlis Daerah Kuala Krai sendiri yang membayar pembinaan tugu itu,” katanya kepada FMT.
YTK ditubuhkan melalui Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi tujuan “program bina ummah”.
Sebelum ini, Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dilaporkan mempertikaikan kewajaran RM300,000 dibelanjakan untuk tugu tersebut.
Kerajaan negeri tahun lalu membina Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai bagi memperingati 170,000 orang dan 36,000 buah keluarga yang menjadi mangsa bencana banjir pada Disember 2014, Bah (banjir) Merah 1927 dan Bah Besar 1967.
Pemuda PAS Kelantan dalam satu kenyataan semalam menjelaskan tindakan kerajaan negeri sebenarnya menyelamatkan tanah tersebut.
Ketua Penerangan Nazman Che Iberahim berkata keluasan sebenar tanah adalah 1.1 ekar dan menjadi tapak Masjid al-Jauhar “yang telah berada lebih puluhan tahun di sana”.
“Bayangkan, masjid yang digunakan sekian lama oleh sebahagian penduduk Guchil (pekan bersebelahan bandar Kuala Krai) adalah sebenarnya milik individu seorang Cina.
“Maka dengan segala kebijaksanaan kerajaan negeri, tanah 1.1 ekar ini telah berjaya diselamatkan atas nama YTK dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.”
Menurut Nazman, tanah tersebut berada dalam kawasan “segi tiga emas Kuala Krai” dan jika dinilai secara profesional mungkin mencecah harga pasaran sehingga RM1 juta.
Amanah Kelantan bagaimanapun berkata ia hanya menampakkan kecuaian di pihak kerajaan negeri.
“Apabila semua bangunan telah dibina, mereka (PAS) baru tahu tanah itu milik persendirian seorang Cina,” kata Che Ibrahim kepada FMT.
“Jadi bila tahu tanah milik persendirian, kerajaan negeri mengarahkan YTK supaya membeli tanah-tanah tersebut.”