ULASAN: Saya melihat politik Malaysia yang semakin menghampiri PRU14 ini memerlukan parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan termasuk Bersatu memuktamadkan pembentukan kolisi alternatif rakyat kepada BN yang merupakan kolisi gabungan lebih kurang 14 buah parti yang diketuai Umno.
Mutakhir ini, Pas beberapa kali telah menjelaskan pendirian tegasnya bahawa mereka sama sekali tidak akan menyertai Pakatan Harapan.
Dan pendirian tegas Pas ini seharusnya memberi kesedaran yang sebenar-benarnya kepada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu yang masih lagi mengharapkan komitmen Pas, bahawa sehingga “kucing bertanduk” sekalipun Pas akan tetap tidak akan bekerjasama dengan pembangkang utama kerana faktor wujudnya AMANAH dalam pentas politik Malaysia dan penglibatan DAP sebagai komponen utama dalam Pakatan Harapan.
Berundinglah lagi walau 48 jam tanpa henti sekalipun, selagi adanya AMANAH dan DAP, Pas tetap tidak akan berganjak untuk daripada mengorbankan pendirian atau menjilat kembali ludah mereka.
Jadi, biarlah noktahnya di sini sahaja. Tiada lagi perbincangan dan rundingan. Masa sudah terlalu suntuk bagi Pakatan Harapan dan Bersatu untuk memikirkan sebuah parti Sang Kelembai yang “sepak dok reboh, gocoh dok sakit” ini.
Biarlah Pas dengan cara politik mereka, ijtihad dan istiqamah mereka walaupun pada hakikatnya dalam sistem politik demokrasi Malaysia, parti Sang Kelembai itu sebenarnya sudah terperangkap, tersudut dan berada di jalan mati.
Dan seperti yang disebut oleh Datuk Husam Musa dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa tiga penjuru adalah pilihan yang wajar masa kini, dan berdasarkan senario politik semasa, peluang Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti politik utama iaitu Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP tetap mempunyai peluang besar untuk mengalahkan BN.
Justeru dengan mengambil kira faktor-faktor berikut:
1. Dapatan kajian Invoke bahawa 24 peratus pengundi Pas akan menyokong Pakatan Harapan;
2. Bersatu akan mengalihkan (swing) undi (Melayu) BN dalam PRU13 kepada Pakatan Harapan sekurang-kurangnya 13 peratus;
3. Sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan kekal 85-90 peratus;
4. Trend pengundi muda dan pengundi atas pagar memihak Pakatan Harapan ekoran terkesan dengan kos kehidupan dari kegagalan dasar-dasar ekonomi kerajaan serta skandal-skandal besar seperti 1MDB dan lain-lain;
Maka, saya menganbil kira bahawa strategi tiga penjuru seluruh negara adalah “praktik politik” yang paling wajar buat masa ini dan seharusnya bermula hari ini seluruh komponen Pakatan Harapan bersatu di bawah satu panji bagi menggerakkan kempen dan persiapan ke arah PRU14.
Dan takala di waktu pertandingan tiga penjuru telah berlaku yang menyaksikan persaingan antara BN, Pakatan Harapan dan Pas-Ikatan di seluruh kawasan di Malaysia, percayalah bahawa pada masa itu, rakyat hanya melihat dua pilihan yang wujud iaitu:
(1) Pakatan Harapan (PH)
(2) Barisan Nasional (BN)
Pas-Ikatan hanya akan dilihat dan dinilai oleh rakyat tidak lebih sebagai sebuah parti atau calon bebas yang hanya mencari peluang dan mencuba nasib.
___________________________________________________________________________________________
Dr A. Zachary S adalah penganalisis politik bebas dari sebuah IPTA di Kuala Lumpur