Tahun ini ialah tahun ‘Ayam Jantan Api’ mengikut takwim Cina tetapi kerajaan tidak perlu berkokok megah kerana ekonomi negara sudah jelas berada dalam satu keadaan yang membimbangkan bagi golongan miskin, golongan sederhana dan berpendapatan rendah.
Khamis lalu, wartawan Suara pakatan daily bersama seorang suri rumah, Pauline Tan, meninjau ke pasar pagi Kepong Baru di Kuala Lumpur. Tinjauan itu dibuat ke atas barangan keperluan untuk menyambut Tahun Baharu Cina seperti sayur, ikan dan daging.
Kami terkejut besar apabila mendapati harga kebanyakan barang telah naik melambung.
Contohnya, halia pada bulan Disember lalu berharga RM23 sekilo, kini harganya mencecah RM30 sekilo. Bawang putih pula naik dari RM15 sekilo hingga ke RM20 sekilo. Buah tomato dari RM6 sekilo ke RM8 sekilo dan sejenis ikan bawal mengalami kenaikan harga dari RM50 sekilo ke RM140 sekilo.
Apabila kami bertanya kepada peniaga mengapa harga naik begitu teruk sekali, mereka semua memberi jawapan yang sama:
“Ekonomi sudah ‘chup lup’ (Bahasa Kantonis yang bermaksud ‘bankrap’) atau Bolehland sudah ‘por chan’ (‘koyak’)”.
Para peniaga semuanya berkata mereka terpaksa membeli pada harga yang tinggi kerana kenaikan harga minyak sejak 1 Januari lalu.
Mereka juga menegaskan bahawa harga akan naik lebih tinggi lagi selepas bulan Jun kerana ramai pelabur asing dan tempatan telah mengeluarkan modal mereka.
“Sudah tenatlah, ekonomi negara ini. Angka-angka ekonomi yang memberansangkan itu semua sudah dimanipulasi. Pelabur asing terutamanya dari negara barat tidak percayakan angka-angka itu semua. Hanya China yang mahu berdagang dengan kita.
“Lain-lain negara sudah tidak yakin. Saya baca di dalam akhbar baru-baru ini ada satu usahawan asing telah menarik balik franchise minuman Chatime itu,” kata Ah Choy, seorang penjual sayur dalam lingkungan usia 70an.
Ah Choy juga memberitahu Suara pakatan daily bahawa tinjauan akhbar Cina menunjukkan masyarakat Cina kali ini terpaksa mengeluarkan kos 9 peratus hingga 10 peratus lebih tinggi walaupun barangan yang dibeli adalah kurang.