Kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter mulai 1 Februari 2017 amat menjejaskan kehidupan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.
Bagi mereka kerajaan BN zalim kerana memansuhkan subsidi bahan bakar tersebut sejak November 2014. Sejak itu, minyak naik turun mengikut harga antarabangsa. Sedangkan Malaysia merupakan pengeluar minyak dan sewajarnya rakyat mendapat sedikit limpahan daripada hasil petroleum berkenaan.
Sekiranya BN terus tidak mahu mengembalikan subsidi dan harga minyak dunia kembali mencecah puncak sebagaimana sebelum 2014 lalu, iaitu lebih AS$100 setong berbanding AS$55 setong sekarang, maka RON 95 dijangka akan berharga RM4 seliter!
Pas tidak kecam keras
Namun pada sisi lain, Pas satu-satunya parti pembangkang yang memiliki sejumlah besar ulama di dalamnya tidak mengecam keras kenaikan harga minyak, apatah lagi merancang untuk mengadakan demonstrasi sebagaimana ketika golongan profesional mendominasi parti itu sebelum 2015 lalu.
Malah Pas yang memperkenalkan konsep ta’awun dengan Umno, atau tolong-menolong mahu hubungan lebih erat dalam hal-hal yang menyentuh umah. Rakyat yang pernah menyokong perjuangan Pas menentang kezaliman Umno BN suatu ketika ternyata-tanya apakah Islam membenarkan mereka bertolong-tolongan dengan sebuah kerajaan yang zalim?
Kebanyakan pertanyaan itu timbul dalam kalangan ahli dan penyokong Pas yang mengundi dan membantu parti itu sejak 1990an. Ketika pemimpin Pas mahu bekerjasama atau bertahaluf siyasi dengan para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 lalu, satu muktamar khas diadakan dan pimpinan Pas mengemukakan dalil keperluan mereka bergabung bersama gerakan Reformasi serta DAP bagi menentang kezaliman BN.
Tuan Guru Nik Aziz dan ustaz Fadhil Noor ketika itu paling banyak mengemukakan hujah-hujah berupa dalil al Quran dan Hadis. Di antaranya dalil perjanjian Hudaibiyah melibatkan nabi Muhammad s.a.w dan puak Quraisy. Namun apakah dalil untuk ta’awun dengan Umno?
Hal ini menjadi lebih penting apabila presiden Pas, Hadi Awang pada 2015 mengungkapkan konsep Pas mahu menjadi penasihat kepada Umno. Ta’awun dalam konsep memberi nasihat dilihat ada rasionalnya.
Bagaimanapun selepas dua tahun memberi nasihat, Umno tetap melakukan pelbagai penyelewengan dan kerosakan. Sehinggakan rakyat biasa kehabisan wang untuk membeli makanan dan menyekolahkan anak akibat kenaikan harga barang yang tidak terbendung. Dalam masa sama Umno BN kekal melaksanakan pelbagai projek mega seolah-olah Malaysia negara kaya-raya dan rakyatnya senang lenang.
Dalam hal ini maka ulama Pas perlu memberi fatwa adakah Allah dan Rasul membenarkan mereka berta’awun dengan pemerintah yang zalim? Apatah lagi menolong pemerintah itu untuk terus berkuasa dan melakukan kezaliman terhadap rakyat.
Pas menyerang pembangkang DAP pada Januari 2017 dengan membariskan pimpinan ulama dan ustaz mereka di Pulau Pinang memberi gambaran seolah-olah pentadbiran DAP dan PKR menzalimi orang Melayu di sana. Pelbagai tuduhan diskriminasi serta tidak islamik diutarakan. Namun apakah sifat zalim kerajaan BN ke atas rakyat dan orang Islam di seluruh negara tidak salah di sisi syarak sehingga Pas boleh berta’awun?
Pas jatuhkan DAP, PKR
Pas berniat untuk menjatuhkan kerajaan DAP dan PKR di mana sahaja dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak. Sebagai gantinya rakyat diseru mengundi parti itu untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. Namun dengan demografi pengundi yang melibatkan bukan Islam, Pas tidak akan mendapat kerusi secukupnya membentuk kerajaan. Adakah konsep ta’awun akan dikembangkan kepada tahaluf siyasi dengan Umno?
Hal ini pun perlukan dalil kerana sifat kezaliman Umno kepada rakyat tidak pernah cair sepanjang Pas menjadi juru nasihat mereka dan tidak akan berubah jika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Jika Pas tetap berkeras untuk menolong Umno dan tidak mahu mengemukakan dalil maka jelaslah tindakan Pas pada era Hadi ini berlawanan dengan cara luhur ulama era Nik Aziz dan Fadhil. Malah berlawanan dengan cara yang dianjurkan Islam, iaitu menyatakan hujah berasaskan Quran dan Hadis sebelum melaksanakan sesuatu keputusan.
Bagi rakyat yang menyokong Pas, jika parti itu tidak mampu mengemukakan dalil maka mereka tidak perlulah menyokong perjuangan Islam Pas.
Umno juga dianggotai orang Islam, memiliki ulama dan mufti serta menggunakan pelbagai istilah Arab dalam pentadbirannya. Namun suatu ketika dahulu Pas menentang parti ini kerana kezalimannya.
Tibalah masanya rakyat meninggalkan kedua-duanya dalam PRU 14 kelak.