Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini telah menghasilkan satu persefahaman antara kedua-dua pihak untuk perhalusi lagi rangka kerjasama parti.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan antara Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu menyebut rangka kerjasama antara Pas dan PPBM akan diperhalusi oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bersama antara Pas dan PPBM itu berlansung di Kuala Lumpur dan telah berjaya menghasilkan persefahaman antara kedua-dua pihak.
“Mesyuarat hari ini telah memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti.
“Sehubungan itu, mesyuarat hari ini juga telah bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama Pas-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua parti,” ujar kenyataan bersama itu.
Selain Tuan Ibrahim dan Mukhriz, turut berada dalam pertemuan yang berlansung dua jam itu ialah Naib Presiden Pas Idris Ahmad.