Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa PM Najib Razak menggantung tugasnya sebagai perdana menteri (PM) susulan tindakan beliau menggantung tugas Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB), berikutan isu penajaan UniKL serta pelaburan Mara Berhad ke atas pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors (TRW).
Kata Mahfuz, penggantungan Annuar kerana disiasat atas dana RM2 juta adalah kecil berbanding dakwaan ke atas Najib melibatkan RM2.6 bilion.
“Saya ucapkan tahniah di atas keberanian dan ketegasan pengurusan Mara dan Ahli majlis Mara yang bermesyuarat khas tanpa pengetahuan Annuar Musa untuk menggantung jawatan beliau dengan serta merta.
“Penggantungan terhadap Annuar Musa diambil kononnya untuk memasti dan mengelak dari sebarang campur tangan Annuar Musa terhadap pasukan audit dalaman Mara membuat siasatan.
“Namun persoalannya adakah amalan ini juga membabitkan anggota kabinet dari Perdana Menteri hingga ke peringkat Timbalan Menteri dan kerajaan negeri?
“Menggantung Annuar Musa untuk siasatan yang membabitkan penajaan tak sampai RM2 juta berbanding siasatan ke atas PM Najib dan akaun peribadinya dengan wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion dan wang SRC RM42 juta adalah sesuatu yang pelik serta tidak munasabah,” sinis beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz lagi, memang tiada peruntukan undang-undang menggantung PM tetapi Najib boleh dengan rela hati menggantung tugasnya sebagai PM dan Menteri Kewangan dengan mengambil cuti dan jawatan PM serta Menteri Kewangan dipangku untuk mengelak dari campur tangan dan salah guna kuasa Najib yang boleh menggangu pasukan penyiasat.
“Oleh kerana Najib masih berdiri sebagai PM semasa siasatan dibuat keatasnya dan 1MDB maka berlaku ‘kacau-bilau’ dalam SPRM semasa diserbu PDRM sehingga berlaku pertukaran segera pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) walaupun kemudiannya dibatalkan adalah membuktikan memang berlaku unsur salahguna kuasa orang yang berkepentingan iaitu Najib.
“Apa tidaknya,dalam kes memecat Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2016,Najib menggunakan kuasanya sebagai orang yang berkepentingan dalam kes sisatan untuk memecat TPM dan Peguam Negara semata-mata bagi mengelak Najib didakwa,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz mengingatkan Najib agar melakukan urus tadbir yang baik bermula daripada ketua dan bukannya orang bawahan.