Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub mendakwa penarikan diri syarikat Saudi Aramco dengan nilai pelaburan AS$27 bilion daripada projek mega Rapid Petronas di Penggerang, Johor berkemungkinan berpunca daripada reputasi buruk MO1 dalam isu 1MDB yang menjejaskan imej negara.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) sangat tidak yakin dengan penjelasan Menteri Kewangan Kedua semalam yang memberikan jawapan sekadar melepaskan batuk ditangga berkaitan isu syarikat Aramco menarik diri secara mengejut dari projek Rapid Petronas Pengerang.
“Adalah menjadi satu isu besar yang melibatkan intergriti negara dan rakyat apabila satu jumlah pelaburan yang bernilai berpuluh bilion ringgit tiba-tiba hilang begitu sahaja.
“AMANAH sangat bimbang dengan tindakan perundangan yang tegas oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura telah menambah buruk lagi imej dan reputasi Malaysia yang sudah pasti menjejaskan peluang FDI dan perniagaan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.