Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa semua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Parlimen seluruh Negeri Perak meningkatkan kerjasama dan gerak kerja bersama setiap jentera terutamanya semua AMANAH Kawasan menjelang tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka tahun ini.
Timbalan Pengerusi AMANAH Perak Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin berkata, gerak kerja penerangan kepada rakyat harus ditingkatkan terutama kepada masyarakat luar bandar berhubung isu-isu semasa negara.
“Kenaikan harga petrol dan diesel bermula 1 Februari lalu jelas membebankan rakyat. Oleh itu PH Perak harus berusaha meningkatkan kesedaran kepada rakyat yang akan diterjemahkan kepada undi untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.
“AMANAH Perak yakin banyaknya isu-isu berbangkit yang ada di hadapan kita mampu mengubah pemikiran rakyat. Justeru itu, jentera penerangan Sekretariat PH Parlimen perlu digerakkan ke tahap yang lebih kuat agar semua maklumat sampai kepada rakyat selain menggerakkan kepimpinan PH Perak bagi diketengahkan untuk menyampaikan ceramah penerangan.
“AMANAH Perak juga turut telah mengarahkan setiap AMANAH Kawasan meningkatkan program bersama menjelangnya PRU14 dengan pelbagai persediaan bersama Sekretariat PH di Parlimen masing-masing yang memerlukan kesepaduan di antara kita untuk berdepan dengan BN nanti,” katanya dalam satu kenyataan.