Akibat kecuaian pengurusan dalam pembinaan pasar baru Pasir Puteh yang heboh kerana peniaga enggan berpindah menyebabkan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dikatakan kehilangan perbelanjaan sebanyak RM2.207 juta.
Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa, dalam suratnya yang kedua kepada menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perbelanjaan membazir ini sepatutnya dapat dielakkan.
“Perkara ini tidak berlaku sekiranya ada penilaian tanah yang sempurna sebelum perjanjian dibuat.
“Sepatutnya semua ini ditanggung oleh syarikat pemaju,” katanya.
Menurutnya, sejumlah RM607,000 bayaran tambahan pampasan pengambilan tanah terpaksa dibayar pihak MDPP melalui satu perintah mahkamah hasil tiadanya penilaian profesional terhadap nilai tanah yang diambil untuk pembinaan pasar.
“RM120,000 pula dibayar sebagai interest berkait isu di atas kerana MDPP gagal meletakkan wang pampasan sejumlah RM867,000 dalam akaun tuan tanah.
“Manakala RM1.4 juta terpaksa dibelanjakan untuk membina dinding dan pintu boleh gulung bagi 84 unit kedai kain di pasar baru yang gagal dibina oleh syarikat pemaju
.
“Sejumlah RM80,000 lagi terpaksa ditanggung MDPP bagi pendawaian semula yang gagal disediakan oleh syarikat pemaju,” katanya.
Dalam suratnya yang agak terperinci beliau menyenaraikan isu-isu yang memerlukan semakan dan penyiasatan lanjut oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Antara isu-isu yang beliau sebutkan dalam surat berkenaan adalah tiadanya penilaian bebas ke atas nilai tapak pasar besar Pasir Puteh sedia ada dan tapak Pasar Baru pada waktu pengambilan tanah dibuat.
Tapak Pasar Besar sedia ada difahamkan telah diluluskan kepada sebuah syarikat pemaju untuk dibangunkan dengan cadangan komersial dan sebagai balasan, syarikat berkenaan akan membina sebuah pasar baru yang menjadi pertikaian kini serta stesen bas.
“Saya difahamkan, syarikat pemaju telah berjaya mendapatkan geran dari Kerajaan Persekutuan sejumlah RM6.85 juta bagi tujuan membina pasar baru dan stesen bas berkenaan.
“Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) tidak mendapat apa-apa faedah dari geran itu, sedangkan dalam cadangan asal syarikat, pasar baru dan stesen bas itu akan dibina dari wangnya sendiri sebagai tukaran kepada harga tanah tapak Pasar Besar yang lama,” ujarnya.
Husam juga difahamkan cadangan asal Pasar Baru adalah bangunan dua tingkat tetapi kemudian diubah menjadi setingkat menyebabkan ruang niaga terpaksa dikecilkan dan menyusahkan peniaga-peniaga.
Sehubungan itu beliau meminta menteri besar menjelaskan kenapa pelan asal dua tingkat itu diubah kepada setingkat dan ke mana wang peruntukan yang dapat dijimatkan dengan perubahan jumlah tingkat itu disalurkan.
“Adakah MDPP mendapat apa-apa pulangan dari penjimatan kos ekoran pengurangan tingkat pasar itu?” soal beliau.
Beliau juga dimaklumkan bahawa sebahagian unit kedai dua tingkat bersebelahan pasar baru telah dimiliki oleh ‘pihak berkaitan’ dan mahu menteri besar memaklumkan kepada orang ramai siapakah pemilik-pemilik unit kedai ini.
“Usaha untuk mendapatkan senarai nama pemilik ini dari MDPP tidak berjaya.
“Ketelusan dalam isu pemilik unit kedai berkenaan penting untuk mengesan sama ada adanya unsur rasuah dan penyelewengan wujud dalam pembinaan pasar dan kedai berkaitan,” katanya. MD