Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) akan mengambil inisiatif lebih serius untuk merangka master plan pendidikan yang komprehensif bagi membolehkan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) berupaya memberikan lebih banyak biasiswa kepada anak-anak Bangsa Johor untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata demikian mengulas kesukaran golongan sederhana dan miskin di negeri itu untuk menyediakan pendidikan sempurna, terutama pada peringkat tertiari kepada anak-anak mereka.
“AMANAH telah menerima banyak maklumat dari ibu bapa bahawa amat sukar hari ini untuk mendapat bantuan pelajaran dari YPJ sama ada dalam bentuk pinjaman malah jauh sekali biasiswa untuk anak-anak mereka yang berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan mahupun luar negara.
“Kerajaan Negeri Johor seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan anak-anak Bangsa Johor yang berpotensi besar untuk menjadi modal insan diberikan biasiswa tanpa mengira siapa pun mereka.
“Adalah wajar bagi kerajaan Negeri Johor yang mendapat limpahan projek-projek mega seperti Wilayah Pembangunan Iskandar dan Rapid Petronas Pengerang memperuntukkan bajet yang mencukupi kepada YPJ untuk memberikan bantuan biasiswa kepada anak-anak bangsa Johor,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan.