Kenyataan media Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sewaktu Konvensyen Persidangan Wanita 2011 di Putrajaya baru-baru ini disifatkan masih ditahap primitif dan kuno dalam memahami tuntutan sebenar wanita di negara ini.
Menurut Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin kenyataan Sharizat yang membandingkan dasar kuota 30 peratus wanita dengan agihan kebajikan juga seolah menghina keupayaan golongan pekerja wanita di negara ini. Selaku taraf Menteri kenyataan seperti itu katanya tidak sepatutnya diucapkan.
“Kerajaan nampaknya cuba mengelirukan rakyat. Hasrat sasaran 30% kuota wanita dalam barisan lembaga pengarah korporat bukanlah sesuatu yang baru, malah suatu yang langkah yang terkebelakang. Ini kerana, penilaian merit memang sudah menjadi budaya korporat dalam mengukur dan mengetengahkan pencapaian seseorang pekerja, tidak kira lelaki mahupun wanita.
“Kerajaan seharusnya berganjak dari sistem kuota sebegini. Penilaian berasaskan merit harus dimula dan disegerakan. Inilah yang diamalkan negara-negara membangun dan maju dan kerajaan harus diimplikasikan di negara ini,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan kemampuan kerajaan dalam memperjuangkan agenda wanita. Buktinya, sehingga kini Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Umno dan BN sendiri masih belum bersedia untuk menyediakan kuota 30 peratus kuota buat wanita.
“Kerajaan sendiri juga gagal untuk melaksanakan apa yang dimeterai sewaktu Konvensyen Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) di setiap peringkat – dari peringkat Menteri dan Kerajaan, Kementerian dan Jabatan sehinggalah ke peringkat pertubuhan dan organisasi, walaupun telah ditandatangi selama hampir 15 tahun lamanya.
“Maka saya bimbang dasar yang mahu dicapai ini kelak akan digunakan untuk memanipulasi sektor korporat demi kepentingan politik mereka semata-mata.
“Sasaran kerajaan bukan sahaja tidak memajukan pekerja wanita yang berada di sektor awam, tetapi juga merencatkan perkembangan penglibatan wanita dalam korporat.
“Gesaan saya agar kerajaan regulasikan akta berkenaan perkara ini. Sekaligus akan mampu memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada semua pekerja wanita dan tidak hanya sektor korporat semata-mata,” ujarnya lagi.
Bagi Zuraida apa yang diharapkan sebenarnya ialah suatu reformasi dari pembudayaan merit sektor swasta ditranversikan kepada sektor perkhidmatan awam agar pembangunan pekerja wanita di negara ini lebih seimbang antara keduanya.