Penganjuran debat oleh Kumpulan Karangkraf antara pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar kelihatan sia-sia apabila wakil dari SPR itu hanya berminat mengulangi hujah-hujah lapuk . Katanya, SPR tidak boleh melangkaui bidang kuasa yang telah diberikan. Tidak boleh membuat peraturan baru atau meminda sebarang peraturan sedia ada serta pelbagai alasan sehingga beliau lebih banyak diboo daripada menerima tepukan.
Sebagai sebuah suruhanjaya, SPR biar pun tidak mempunyai autonomi tetapi tetap memiliki kuasa yang berpatutan. Sama situasinya dengan suruhanjaya di raja yang ditubuhkan bagi menyiasat sesuatu kes yang berprofil tinggi. Suruhanjaya di raja boleh memanggil sesiapa sahaja saksi dan menyoal apa sahaja perkara yang sukar dilakukan melalui inkues atau prosiding mahkamah biasa.
SPR dengan kuasa yang ada ditangannya sepatutnya telah pun memenuhi tuntutan penggunaan dakwat kekal . Sama ada kerajaan akan meluluskan pembelian dakwat itu atau tidak bukanlah urusan SPR. Begitu juga akses media kepada semua parti. SPR boleh mengeluarkan saranan. Sama ada kerajaan membenarkan RTM menayangkan berita Anwar berkempen atau tidak bukan masalah badan itu. SPR juga boleh mencadangkan peraturan dipinda agar pendaftaran pengundi secara automatik dibenarkan. Sama ada ia perlukan pindaan perlembagaan atau tidak itu bukan tanggungjawabnya. SPR juga boleh meminta Jabatan Pendaftaran Negara merangkaikan (link) pangkalan data dengan pengkalan data pendaftaran pengundi. Sama ada nama bertindih boleh dipadam secara serta-merta atau perlukan keputusan mahkamah itu di luar kuasa SPR.
Menetapkan peraturan
Peranan SPR adalah mencadangkan peraturan baru atau memperbaiki oeraturan sedia ada. Sekiranya kerajaan tidak mahu mengikuti peraturan itu maka tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskannya kepada rakyat. SPR sama sekali tidak boleh mengatakan terdapat undang-undang yang menghalang pendaftaran automatik atau membuang nama bertindih dalam daftar pemilih kerana sebahagian daripada tugasnya adalah untuk memperbaiki proses pemilihan kerajaan dari semasa ke semasa.
Bukti SPR mempunyai kuasa untuk membuat cadangan dan boleh mendesak kerajaan melaksanakan cadangan ialah penggunaan sistem biometrik. Bukankah SPR yang mencadangkan perkara itu dan bukannya kerajaan BN yang mengeluarkan syor. Jadi, di manakah relevannya hujah bahawa SPR tiada kuasa walaupun hanya untuk mencadangkan sesuatu perkara?
Hal itulah yang menyebabkan Wan Ahmad diboo beberapa kali, kerana selama ini SPR telah menjadi alat kepada kerajaan BN untuk menipu dalam pilihanraya bagi mengekalkan kuasa mereka. Hal itulah juga menjadi faktor perangsang 100,000 rakyat bangkit pada 9 Julai lalu berdemo menuntut SPR berubah dan jangan membenarkan diri terus-menerus diperkuda oleh BN.
Anehnya, SPR menghadapi tuntutan rakyat yang menjadi pelanggannya secara kasar dan keras, kononnya suruhanjaya itu betul dalam semua keadaan. Perkara itu amatlah dangkal dalam amalan demokrasi.
Sepatutnya sebuah suruhajaya yang ditubuhkan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan akur kepada suara demokrasi. Seandainya rakyat tidak lagi berpuas hati dengan sebarang peraturan yang berjaya dibuktikan lemah dan terdedah kepada penyelewengan, badan itu hendaklah menasihatkan kerajaan yang memerintah agar mengubah peraturan itu, merangka peraturan baru dan membawa ke Parlimen untuk diluluskan. Sekiranya gagal diluluskan maka SPR telah lepas daripada tanggungjawab. Mengapakah SPR terlalu takut untuk berbuat demikian?
BN rugi
Jawabannya terletak kepada imej kerajaan BN. BN memang tidak akan meluluskan sebarang peraturan yang bakal menyebabkan mereka rugi dalam persaingan dengan parti pembangkang. Kegagalan meluluskan pindaan rang undang-undang mencadangkan ketelusan pilihanraya pastinya akan menghantar isyarat kepada rakyat BN sudah tidak relevan untuk terus diundi dan diberi kuasa. Begitu juga sesetengah nasihat yang dikeluarkan SPR dikhuatiri boleh dijadikan senjata oleh pembangkang membuat pendakwaan di mahkamah menuduh pemerintah cuba menyekat lawan daripada bertanding secara adil dalam pilihanraya.
Hal itu amat ditakuti BN. Oleh itu SPR harus mengekang semua perubahan di pihaknya dan jangan membenarkan ia melangkaui takhta kekuasaan BN. Kemarahan rakyat harus ditumpukan kepada SPR dan menyelamatkan BN yang mencorakkan tindakan dari jauh.
‘Terdapat tarikh luput bagi kekejaman,’ itu kata-kata A. Samad Said diambang perhimpunan Bersih awal Julai lalu. Tarikh luput telah mengambil tempat di Mesir, Tunisia, Libya serta beberapa negara Asia Barat lain. Semua itu bermula daripada kesangsian rakyat terhadap agensi yang mengendalikan pilihanraya. Apabila kesangsian itu tidak boleh diperbaiki malah dipertahankan dan diperjuangkan pula bermati-matian agar tidak berganjak sedikit pun dari kehendak pemerintah maka rakyat melihat mereka tidak lagi mempunyai apa-apa harapan di dalam sistem politik yang semakin suram.
Rasa marah membuak-buak terhadap kerajaan yang mustahil ditumbangkan melalui pilihanraya membuat rakyat berputus asa terhadap proses demokrasi. Akhirnya mengambil satu-satunya cara yang masih tersisa iaitu demonstrasi dan anarki.
Rakyat hilang ketakutan menghadapi senjata dan tekanan. Gas pemedih mata, cota malah peluru hidup tidak akan membuat mereka undur. Ketika itu tiada apa yang boleh dilakukan oleh pemerintah. Malaysia mungkin masih jauh daripada melalui detik ngeri itu. Malah masih banyak jalan berunding dan reformasi secara aman yang belum dicuba.
Semangat melawan
Demo Bersih telah menunjukkan semangat melawan yang tidak jauh berbeza berbanding Mesir dan Tunisia. Cuma peserta demo tidak melangkaui garis tipis kesabaran. Rata-rata peserta berkata kerana pemimpin menyarankan mereka berjalan secara aman maka mereka wajib mengakhirinya dengan aman. Polis boleh memukul dan menangkap. Mereka juga rela mati tanpa melawan. Dan memang pun seseorang telah mati.Tetapi keadaan seperti itu tidak akan sama jika perhimpunan berulang. Kemarahan lama yang bergabung dengan kedegilan kerajaan menolak meminda peraturan pilihanraya bakal menghasilkan tindakan yang tidak akan sama buat selama-lamanya.
Dalam keadaan inilah SPR sangat berperanan untuk meredakan arus kemarahan. Bertindak bijaklah dengan kuasa yang ada. Tegur dan nasihatkan kerajaan. Beberapa perkara pasti akan didengar oleh pemerintah sekiranya orang kepercayaan mereka dalam SPR mula bersuara demi kebaikan rakyat. Tentunya ada beberapa peraturan yang akan dipersetujui untuk diubah. Jika tidak seratus-peratus seperti kehendak Bersih ia tetap juga dipinda dan sejumlah rakyat akan berpuas hati.
Amat merbahaya membiarkan kemarahan terus memuncak. Bersih kini telah disokong oleh golongan profesional, sasterawan, budayawan, ahli akademik, mahasiswa, anak menteri, bekas menteri kabinet BN dan tidak pula dimurkai oleh Yang DiPertuan Agong.
Kita seolah-olah melihat sejarah baru sedang dibina dalam beberapa bulan ini. Malangnya, sejarah itu adalah ulangan apa yang telah berlaku di Korea Selatan, Thailand, Filipina, Indonesia dan negara Asia Barat dalam menuntut proses pencerahan demokrasi.
Di sini, SPR akan menjadi penentu penting sama ada sejarah ini akan melengkapkan dirinya ke arah saat yang amat mencemaskan atau ia akan menuju kepada penyelesaian bertamadun yang boleh diterima oleh sekelian rakyat. Seandainya SPR terus berdiam diri maka mereka sedang merelakan sesuatu yang di luar tugas mereka dalam memilih kerajaan secara demokratik.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pandangan suarapakatandaily