Berbeza dengan pendirian Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu yang masih mahu berunding dengan Pas, Pemuda Sosialis DAP menyifatkan gabungan parti pembangkang mesti terus maju bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang, Farhan Haziq, berkata, garis masa rundingan dengan Pas mesti ditetapkan demi kemantapan blok pembangkang menentang Umno-BN.
“Kita perlu komited, mesti ada ‘timeline’ (garis masa) untuk kita bergerak dalam satu pasukan. Kalau ada yang tidak mahu, kita terus bergerak. Sekarang ini, bincang, bincang dan bincang, kita tidak akan bergerak sebagai satu pasukan,” tegasnya.
Beliau yang mengambil giliran memberi pendapat selepas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menekankan tentang pentingnya rundingan dengan Pas diteruskan juga mengemukakan cadangan berhubung manifesto anak muda.
“Kita perlu bersedia buat lain daripada yang lain. Contohnya, kita boleh mula bincang untuk manifesto anak muda kerana mereka ramai akan mengundi pada PRU14.
“Manifesto anak muda ini kita boleh bangkitkan isu-isu anak muda dan ini patut dibuat Pakatan Harapan sebab anak muda sekarang sudah tolak politik, perlu ada manifesto untuk lawan Umno-BN,” tegasnya lagi sambil mengajak Syed Saddiq untuk turut serta. MD