Pembangkang akan tewas di tangan BN pada pilihan raya umum walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai pakatan yang dipimpin PAS, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Perkiraan mereka tak betul,” kata pengerusi PPBM pada sidang media seusai perbincangan meja bulat “Selamatkan Malaysia” yang digerakkan DAP di The Club@Bukit Kiara, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada partinya bersetuju dengan cadangan itu.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS menggesa PPBM meninggalkan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah untuk menyertai blok mereka.
Gesaan dibuat meskipun Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertemu pimpinan kanan PAS bagi memujuk mereka menentang BN secara 1 lawan 1 pada pilihan raya umum nanti.
Bekas perdana menteri itu percaya pertandingan 3 penjuru akan tetap berlaku melibatkan PH, BN dan blok PAS walaupun PPBM meninggalkan pakatan pembangkang.
Menurut Dr Mahathir, PPBM berharap PAS akan menyertai permuafakatan melawan BN.
Sebelum itu, berucap di sidang tersebut, Dr Mahathir berkata demokrasi sebenarnya permainan nombor dan pembangkang perlu membentuk majoriti di Dewan Rakyat sekiranya mahu memerintah Malaysia.
“Pembangkang perlu meyakinkan orang Melayu, yang membentuk kaum majoriti di Malaysia, untuk menyokong mereka
“Atas sebab itu kerusi majoriti Melayu disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan BN kekal berkuasa,” kata Dr Mahathir.
Katanya, Najib menakut-nakutkan orang Melayu menggunakan kad perkauman dan agama supaya masyarakat terus bersamanya dan BN.
Dr Mahathir teringat dirinya juga pernah digelar ultra Melayu oleh bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dan mengambil masa yang lama untuk mengikis label itu dalam kalangan orang Cina.
Singapura sebahagian Malaysia dari 1963 hingga 1965.
Dr Mahathir berkata, atas sebab itu beliau tewas di tangan pemimpin PAS, Yusof Rawa, dengan 900 majoriti undi pada pilihan raya Parlimen 1969 apabila orang Cina mengundi parti Islam.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang Cina juga yang menyelamatkan beliau dan BN pada pilihan raya umum 1999, semasa beliau menjadi perdana menteri.
“Mereka sokong saya kerana kerajaan menyelamatkan mereka daripada kemuflisan akibat krisis kewangan 1997,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau membantah penghijrahan warga China secara besar-besaran kerana ia akan mengubah demografi Malaysia dan mengancam dominasi orang Melayu.
Beliau mendakwa warga China membeli hartanah di Forest City, Johor, sebagai sebahagian daripada proses penghijrahan itu.
Dr Mahathir nafi dirinya anti-Cina, tetapi pro-Malaysia. Beliau bekerja keras untuk negara ini, katanya.
“Negara berbilang kaum ini sudah membangun dan makmur dan kita tidak perlu mengubahnya.” FMT