Keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim untuk kembali aktif dalam politik dengan menyertai DAP adalah perkembangan positif bagi Pakatan Harapan, kata seorang tokoh akademik dan pemimpin PKR.
Menurut Profesor Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia, Zaid berpotensi untuk mengisi “kekosongan” dalam DAP yang dikhaskan untuk pemimpin Melayu dan membantu parti itu menangkis label “anti-Melayu atau anti-Islam”.
“Masih ada kekosongan jawatan naib pengerusi ini. Saya melihat bahawa beliau (Zaid) boleh mengisi jawatan itu,” kata Ahmad Atory.
Beliau berkata, jika Zaid mempunyai kedudukan dalam parti, beliau akan dapat membantu “mencairkan” sentimen perkauman di kalangan pucuk pimpinan DAP
“Penyertaan Zaid sebagai orang Melayu, mungkin mereka (pemimpin bukan Melayu) akan menjadi berhati-hati (dengan sentimen perkauman).
“Jadi saya rasa ini adalah pengaruh yang positif,” katanya kepada Malaysiakini.
Zaid, 66, mengumumkan keputusannya menyertai DAP, semalam.
Beliau sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Baru untuk selama satu penggal dan menghabiskan masa selama enam bulan sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mengulas lanjut, Ahmad Atory percaya bahawa Zaid adalah calon berpotensi DAP untuk jawatan menteri kabinet sekiraya pembangkang berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.
Sentimen ini turut dikongsi oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berkata bahawa Zaid memang dianggap sebagai calon berwibawa menjadi menteri kabinet jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
Beliau merujuk kepada khidmat seketika Zaid dalam PKR antara tahun 2010 dan 2012.
Hubungan PKR dan Zaid retak dan kemudiannya berkecai berikutan pemilihan parti itu yang menyaksikan Datuk seri Azmin Ali berjaya menjadi timbalan presiden sehingga hari ini.
“Pandangan saya mengenai perkara ini adalah berdasarkan kepada fakta bahawa kita perlu bergerak ke hadapan. Masa semakin suntuk untuk gabungan ini. Kita perlu lebih ramai orang untuk menyertai kami.
“Saya melihat kemasukan Zaid ke dalam DAP dalam konteks yang positif,” kata Saifuddin.