Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memainkan peranan penting dalam menyatukan parti pembangkang.
Presiden PKR berkenaan berkata ia jelas terbukti apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memulakan langkah pertama untuk bertemu dengan bekas timbalan perdana menteri itu.
“Dr Mahathir tetap bertemu dengan Anwar. Jika dia (Dr Mahathir) bagus dalam menyatukan parti, dia tidak perlu datang, sebaliknya dia datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Empire Hotel, Subang Jaya, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir bertemu sekali lagi dengan Anwar buat kali kedua di Mahkamah Tinggi Jalan Duta. Ia pertemuan kedua pemimpin itu selepas bertemu kali pertama pada September tahun lalu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menggesa agar pemimpin pembangkang memberikan kredit kepada Anwar atas usahanya.
“Bukannya mudah (untuk satukan pembangkang), kerana kami dikatakan dilihat berpecah. Berilah dia kredit dan peluang,” katanya yang mengesahkan “dia” dimaksudkan adalah Anwar.
Wan Azizah berkata pandangan yang dikemukakan bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai DAP sebagai pandangan peribadi.
Zaid pada Selasa lalu berkata hanya pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilihat dapat menyatukan pembangkang ketika ketua umum PKR itu masih meringkuk di penjara Sungai Buloh.
Malah Zaid mengakui pandangan itu pandangan peribadi dan turut meminta maaf kepada pucuk pimpinan parti kerana menyebabkan pemimpin tertinggi terasa.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Puchong daripada DAP Gobind Singh Deo berkata Dr Mahathir bukanlah ketua pembangkang, sebaliknya menegaskan Anwar masih memegang jawatan tersebut. FMT