Kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada 1 Februari lalu menjejaskan rakyat daripada pelbagai latar belakang penghidupan.
Salah satu golongan yang amat menderita menghadapi kenaikan harga barang akibat kebaikan minyak adalah penjaja kecil-kecilan yang hampir-hampir tiada keuntungan dan sukar mendapat pelanggan sekiranya menaikkan harga jualan mereka.
“Harga semua jenis barang terutamanya sayur, ikan, daging, minyak dan minyak masak terlalu tinggi. Kerajaan pun tidak mengambil langkah untuk mengawal harga barang,” kata Puan Maimunah, penjaja dalam lingkungan umur 50an di Kuala Lumpur, kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang menjual nasi lemak, mee siam, mee goreng dan bermacam-macam jenis kuih-kuih memberitahu bahawa beliau tidak lama lagi akan terpaksa menaikkan harga nasi lemaknya sebab harga semua bahan makanan telah melambung naik.
“Banyak jenis sayur telah melebihi RM10 sekilo pada masa kini. Saya dengar desas-desus harga minyak akan hampir kepada RM3 selepas bulan Jun nanti.
“Apa yang kerajaan buat? Banyak cakap kosong saja mereka sedang bantu rakyat. Kalau benar-benar hendak bantu, turunkan harga minyak dan minyak masak dengan serta-merta,” katanya.
Beliau juga berpendapat sekarang ekonomi negara sudah “amat teruk” kerana rakyat dari golongan miskin sudah tiada wang dan wang BR1M dalam sekelip mata sahaja akan dihabiskan kerana kos sara hidup terlalu tinggi.
Beliau yakin bahawa masyarakat Melayu di bandar kali ini akan mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 tetapi di kawasan kampung, kesan harga barang naik masih tidak dapat mempengaruhi penduduk untuk mengundi PH kerana harga di kampung tidak begitu mahal seperti di bandar.
Puan Maimunah yang tidak menyokong BN menggesa pakatan pembangkang supaya cepat bersiap-sedia kerana sudah agak jelas bahawa pilihanraya negeri Sabah akan diadakan dalam masa yang terdekat dan PRU14 akan diadakan dalam tahun ini.
“PH mesti segera kempen kuat dengan polisi memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta polisi menurunkan harga minyak dan minyak masak,” tambah beliau.