Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mendesak agar pihak Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes kematian Penolong Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur April lalu.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Salleh. Menurutnya, sebagaimana suruhanjaya itu penting bagi mendedahkan kebenaran. Penubuhannya juga dituntut oleh Isteri Allahyarham Sarbani, Masiah @ Maziah Manap baru-baru ini yang membuat satu laporan polis berkaitan siasatan kematian suaminya.
“Sepertimana harapan kedua Ibubapa Allahyarham Sarbani semasa pertemuan kami tempohari yang juga telah mendesak agar pihak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya DiRaja.
“Kami juga agak kecewa dengan pendirian Kerajaan Negeri Perak yang langsung tidak memberikan tekanan kepada Kerajaan Pusat agar menubuhkan Suruhanjaya DiRaja. Ini kerana walaupun kes tersebut berlaku di Kuala Lumpur, tetapi Allahyarham Sarbani adalah anak kelahiran Negeri Perak yang sewajarnya mendapat perhatian kerajaan negeri.
“Bagi kami, ini bukan soal politik tetapi ianya lebih kepada semangat menuntut kebenaran kerana ianya juga berkaitan soal agama Islam. Kami sekali lagi mendesak agar kerajaan negeri tampil memberikan desakkan sama agar pihak Kerajaan Pusat menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi mengendalikan kes yang amat memeranjatkan negara ini kerana sudah terdapat kejadian sama yang berlaku terhadap mendiang Teoh Beng Hock,” katanya.
Tegas Salman Dewan Pemuda PAS Perak menyokong seratus-peratus tuntutan agar ditubuhkan segera Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes kematian Allahyarham Sarbani.