Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Pas harus menetapkan pendirian parti itu sama ada untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Pakatan Harapan.
Beliau berkata, tempoh sebulan yang diberikan parti itu kepada Pas bertujuan untuk mempercepatkan proses rundingan.
“Kita bagi masa, kita dah tunggu lama, kita kesuntukan masa sebab itu kita perlu bagi masa.
“Kita banyak kerja lain untuk diselesaikan.Kalau tergantung macam itu sukar kita laksanakan perancangan untuk masa depan parti pembangkang membuat satu keputusan bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Watikah dan angkat sumpah pelantikan 120 Ketua Bahagian parti itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya petang tadi.
Pengerusi PPBM itu juga berkata, Pas tidak akan berpeluang untuk menang lebih kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 jika mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan sebarang kerjasama antara PPBM dan Pakatan Harapan.
“Mereka (Pas) tidak akan menang pilihanraya dengan sendiri. Mereka mungkin terpaksa bergabung dengan Umno atau pakatan pembangkang untuk menang.
“Jika mereka tak mahu bekerjasama dengan Umno-BN juga pelbagai kaum.
“Kita kena ada kerjasama dengan semua parti kita tidak boleh pulaukan DAP. Inilah masalah Pas.
“Kita harus terima…negara ini berbilang kaum mana boleh nak dapat kemenangan dirikan kerajaan hanya kepada Melayu sahaja,” ujarnya yang berpandangan Pas tidak seharusnya memulaukan mana- mana parti dalam pakatan pembangkang sama ada dari DAP atau Amanah.
Justeru kata Dr Mahathir lagi, mana mungkin PPBM di desak oleh Pas untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Amanah jika Pas bekerjasama dengan PPBM.
“Cukup…cukuplah. Itu pemikiran yang sempit. Jika mereka nak menerima parti Pribumi Bersatu mestilah menerima dengan Pakatan Harapan.
“Jika ini tidak berlaku akan ada pertandingan tiga penjuru. Ini juga jelas bermakna Pas sebenarnya menyokong Umno,” ujarnya.
Sebelum ini PPBM beberapa kali melalui Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi pertemuan itu masih lagi tidak berlaku bagi kedua pemimpin itu.
Menurut Muhyiddin beliau tidak akan mendesak Hadi bertemu dengannya untuk membincangkan soal kerjasama ini.
“Tidak payah didesak.Kita telah lama berbincang berbulan- bulan dengan wakil mereka.
“Saya percaya Hadi tahu. Tidak perlulah mendesak jika dia nak jumpa kita, kita jumpalah… terserah pada Pas,” ujarnya. MD