Tindakan satu ahli parlimen dan 3 ADUN DAP Melaka yang meninggalkan parti itu baru-baru ini tidak akan melehkan semangat ahli bawahan untuk terus menentang kezaliman BN bersama barisan kepimpinan parti sedia ada.
Demikian ditegaskan oleh ahli veteran DAP, Steve Mun, 80 tahun dari Taman Bukit Maluri di Kepong, Kuala Lumpur. Beliau yang pernah menjawat jawatan tinggi di sebuah syarikat British menjadi ahli DAP sejak usia muda berkata, perjuangan menewaskan BN tidak boleh berakhir dengan hanya beberapa orang pemimpin meninggalkan parti.
“Perletakkan jawatan pemimpin DAP Melaka memang mengejutkan ramai ahli serta penyokong parti. Tetapi ini tidak akan melunturkan semangat DAP untuk terus berjuang untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau yang menjadi ahli DAP sejak 1966 itu memberitahu memang wujud rasa kurang senang dalam kalangan penyokong DAP apabila parti itu mula bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mana pengasasnya adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Namun begitu, zaman telah berubah. Kita tidak boleh kekal dalam takuk pemikiran yang kolot.
“Saya kata begitu walaupun saya seorang tua. Kalau corak politik kita tidak berubah haluan kerana perkembangan terkini, maka parti akan mundur,” kata Steve yang menekankan bahawa perjuangan DAP tetap sama sejak 1960an, iaitu berjuang untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk sama-sama mewujudkan satu Malaysia yang adil dan saksama untuk semua.
Steve yakin DAP akan mendapat sokongan yang lebih baik dari pengundi Melayu pada PRU 14 berdasarkan mood semasa.
“Saya berpendapat masyarakat Melayu akan menyokong pakatan pembangkang kali ini disebabkan oleh kos sara hidup yang sudah meningkat dengan paras yang amat tinggi dan terus meningkat lagi terutamanya dalam isu kenaikan harga minyak.
“Oleh itu, Pakatan dan PPBM wajar mengadakan kerjasama yang erat dan mengadakan perancangan strategi bersama.
“Dalam perkara ini, walaupun ada penyokong DAP yang tidak berapa gembira dengan kerjasama dengan PPBM, prinsip DAP adalah sama sejak 1966. Justeru itu, saya berharap semua ahli serta penyokong DAP akan bersatu hati menyokong PH dalam usaha mereka bekerjasama dengan PPBM,” tambah Steve