ULASAN: Jika di Kelantan pernah dibongkar adanya Tiga Abdul yang pro dan kontra terhadap pemerintahan Pas di sana. Tiga Abdul itu semuanya berdekatan dengan Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
Tiga Abdul tersebut kini sedang beransur melalui proses tua dan bersara daripada aktiviti politik kepartian. Tiga Abdul yang dimaksudkan dalam buku karya penganalisis politik Mohamad Sayuti Omar itu adalah Abdul Fatah, Abdul Halim dan Abdul Rahim.
Sebaliknya, kini dalam hiraki Pas Malaysia, setelah terkeluarnya beberapa pemimpin profesional yang tidak lagi menjadi pimpinan Pas di peringkat pusat maka muncul pula Tiga Din yang sangat berpengaruh terhadap dasar-dasar Pas.
Din berkuasa
Din yang pertama ialah mantan hirarki nombor dua dalam parti pada suatu ketika tetapi kini telah membawa diri. Beliau tidak aktif dan banyak mengkritik Pas pada suatu masa, terutama selepas terpecatnya bekas Naib Presiden yang juga exco kanan mewakili Pas dalam kerajaan Selangor, Dr Hasan Ali.
Namun mengejutkan tahun lalu apabila Presiden Pas secara terbuka memuji dan berbangga sebaik sahaja beliau dipilih oleh pemimpin Umno untuk menggantikan Datuk Saifudin Abdullah mengetuai NGO Kesederhanaan Global naungan Umno.
Presiden Pas mendakwa bahawa Umno ambil ahli Pas dan mempercayai seseorang ahli Pas, maka itu satu adalah pengiktirafan bahawa ahli Pas berguna kepada sesiapa sahaja.
Meskipun individu ini naik dalam hiraki Pas secara agak mendadak dan tidak dari bawah akan tetapi beliau berjaya menyakinkan ahli Pas akan kehebatannya.
Bagaimanapun, almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz tegas menolak beliau selepas kritikannya kepada parti dengan menyatakan tidak akan mencalonkan lagi beliau dalam pilihan raya di Kelantan.
Seorang lagi Din ialah lulusan Al Azhar dan mendaki hirarki Dewan Pemuda Pas negeri hingga ke pusat dan tiba-tiba memenangi PRU 13 di parlimen Temerloh.
Sangat bertuah di atas krisis Umno Temerloh apabila Datuk Saifudin Abdullah, mantan Timbalan Menteri Pendidikan tidak dicalonkan semula di situ maka berlaku perpecahan undi Umno yang memudahkan Din ini menang.
Harakah merosot
Selepas meningalkan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat beliau mencuba nasib sebagai calon AJK Pas Pusat dan menang besar.
Dengan kekosongan beberapa jawatan utama dalam parti maka beliau telah dilantik sebagai Ketua Penerangan yang turut menguasai akhbar Harakah lidah rasmi parti.
Beliau sangat aktif mengeluarkan kenyataan media. Di bawah beliau akhbar Harakah merosot dan ketinggalan daripada arus perdana media.
Din yang ketiga ialah menantu Datuk Seri Presiden sendiri yang tular di internet mengenai gaya hidup beliau daripada seorang lepasan agama menjadi ahli korporat.
Walau pun netizen melabelkan beliau dengan gelaran nama makanan berdaging yang sangat digemari semua orang akan tetapi beliau sangat diminati oleh ahli Pas.
Daripada 3 Din ini, seorang berada di luar Pas dan dua berada dalam parti.
Mereka bertiga dikira mempunyai pengaruh tersendiri kerana berada dalam Majlis Syura Ulama dan AJK Pas Pusat.
Pas benci DAP, Amanah
Seorang Din popular kerana bila berceramah beliau mirip Haji Hadi lenggok dan gaya pengucapannya. Seorang lagi berada dalam rumah Presiden dan yang seorang lagi berada di luar Pas tetapi mempunyai ‘kabel’ dengan Perdana Menteri Najib Razak.
Beliau boleh menyampaikan pandangan dan nasihat kepada PM dan boleh menjadi penghubung antara Pas dan Umno.
Dengan bertambah bencinya Pas kepada DAP dan serpihannya Amanah maka amat mudah ketiga-tiga Din dan rakan-rakannya memberi nasihat melakar hala tuju parti selepas keluar daripada Pakatan Rakyat.
Ketika krisis MB Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor, nyaris BN bersekutu dengan Pas dan Khalid sendiri sebagai Adun Bebas. Pada waktu itu Khalid mempertahankan kedudukannya dengan 3 exco Pas yang mentadbir Selangor selepas exco PKR dan DAP dibuang daripada kerajaan negeri.
Pas berubah
Maka kini Pas sedang sangat berubah atas alasan pelbagai maksud kerana tidak mahu bersama parti-parti pembangkang seperti PKR dan DAP yang ada kerjasama dengan Amanah. Pas semakin bertindak melawan arus dan meninggalkan rakan-rakan tahaluf dengan mudah sekali tanpa menoleh kebelakang.
Memang Pas tidak akan bersatu dengan Umno dan tidak akan berlaku lagi seperti 1976, di mana parti itu berada dalam Barisan Nasional tetapi kali ini Pas akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang tidak ada hubungan dengan DAP dan Amanah
Oleh kerana Umno sedang memberikan ruang dan peluang kepada Pas untuk berdakwah dan hendak melaksanakan Islam maka Pas membuka ruangnya untuk berkerjasama.
Akhirnya ketiga-tiga Din ini akan terus mewarnai politik parti Islam tertua di Malaysia itu hingga ke suatu masa yang hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya.