Tindakan Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim, 26 Februari lalu meminta ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meletak jawatan dan meninggalkan parti adalah tidak wajar.
Kebanyakan ahli Pas tidak bersetuju dengan saranan tersebut. Seorang veteran Pas berkata, Pemangku YDP Pas Pokok Sena itu bukanlah pakar Perlembagaan Pas.
“Orang yang pakar mentafsir dan menterjemahkan perlembagaan Pas suatu masa dahulu ialah Almarhum Ustaz Hasan Shukri, bekas Timbalan dan Naib Presiden Pas yang sangat dihormati dan disanjungi oleh semua pihak.
“Sebaliknya ulasan Wan Romani itu, berdasarkan Fasal 11 (4) perlembagaan PAS adalah bahaya, iaitu ahli yang tidak mematuhi atau menuruti segala arahan parti daripada masa ke semasa dianggap terkeluar dari Pas.
“Jika digunapakai tafsiran itu, bermakna Pas akan kehilangan 40% ahlinya secara automatik kerana ramai ahli bersetuju dengan segala ingatan, kritikan atau pandangan Mahfuz berhubung situasi Pas hari ini. Sehingga Pas terbahagi kepada 3 puak, terutama di Selangor,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Menurut beliau, lapisan pertama ialah para pemimpin yang dilihat kebal dan terlindung daripada kesalahan atau kesilapan kerana bersetuju keluar daripada Pakatan Rakyat dan mengutuk DAP serta mengecop parti serpihannya Amanah sebagai pengkhianat yang hampir terkeluar daripada landasan Islam.
“Kedua, ahli Pas yang bercadang untuk keluar parti secara keras atau lembut tetapi sedang menunggu waktu yang sesuai, ada yang telah menyertai Amanah dan sebagainya.
“Ketiga ialah kelompok ahli Pas yang hanya berpeluk tubuh dan senyap serta tidak menyertai program parti. Mereka diistilahkan sebagai berehat daripada jihad,” katanya.
Menurut veteran Pas ini lagi, sekiranya berlaku pilihan raya dalam waktu terdekat Pas berkemungkinan hanya akan mendapat undi daripada golongan hard core parti dan jumlahnya tidak sampai 50% daripada jumlah keseluruhan ahli.