Walaupun sudah 3 dekad dalam industri kelapa sawit, penyelidikan yang kurang menyebabkan Malaysia gagal membangunkan tenaga biodiesel daripada sumber itu, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.
Beliau berkata tenaga biodiesel yang boleh terhasil daripada kelapa sawit sudah dibincangkan sejak 30 tahun lalu, tetapi usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlalu sederhana.
“Malaysia dalam kedudukan yang baik (sebagai pengeluar utama dulu) tetapi malangnya usaha penyelidikan, pembangunan serta perbincangan berkaitan perkara ini masih tidak mencapai tahap sepatutnya,” katanya.
Prof-Jomo-Kwame-Sundaram.
Beliau berkata demikian pada program syarahan umum “Pembangunan Mapan di Malaysia?” anjuran Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) hari ini.
Jomo berkata negara tidak meletakkan asas yang cukup kuat untuk membangunkan tenaga biodiesel daripada minyak sawit.
Beliau membandingkan kegagalan itu dengan beberapa negara antaranya Cuba, Brazil dan Amerika Syarikat yang mempunyai dasar khusus bagi membangunkan tenaga itu, seperti biodiesel daripada minyak soya dan bioethanol daripada tebu.
Pada era 1960-an, negara beralih daripada pengeluaran getah kepada perladangan sawit, seterusnya menjadi pengeluar utama dunia sebelum dipintasi negara jiran, Indonesia.
Beliau berkata negara pasti dapat berdepan kritikan terhadap industri kelapa sawit jika dapat menyumbang bukan saja dalam tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga dalam aspek pembangunan mapan.
“Saya berharap isu pembangunan mapan ini bukan saja membangkitkan tentang permasalahan, tetapi juga peluang besar kepada negara dan untuk masa depan,” katanya.
Kritikan terhadap perladangan kelapa sawit biasanya berhubung kesannya ke atas alam sekitar, seperti penebangan hutan, mengancam hidupan liar dan pencemaran karbon.
Pertubuhan alam sekitar antarabangsa Greenpeace sebelum ini lantang membangkitkan isu kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia untuk penanaman kelapa sawit.
Ketika sesi soal jawab, Pengerusi Yayasan Noah Datin Paduka Faridah Abdullah berkata kenyataan tersebut tidak adil memandangkan penyelidikan memerlukan dana besar.
“Dan penyelidikan di universiti bergantung kepada (dana) kerajaan, tidak seperti di negara barat apabila syarikat gergasi memperuntukkan wang yang besar untuk tujuan itu.
Jomo kemudian membangkitkan tindakan kerajaan memotong peruntukan terhadap universiti untuk 2 tahun terakhir dalam bajet negara.
Namun, beliau bersetuju dengan Pengerusi United Malacca Berhad Datin Paduka Tan Siok Choo yang pada sesi itu berkata kerajaan sebelum ini melepaskan peluang untuk memperuntukkan lebih wang bagi penyelidikan dengan mengenakan “cukai keuntungan” kepada syarikat kelapa sawit yang mengaut untung besar satu ketika dulu, tetapi tidak berbuat demikian. FMT