Walaupun harga minyak tidak dinaikkan pada 1 Mac, namun harga RON95 pada paras RM2.30 seliter sudah cukup tinggi dan rakyat sedang merasa bahangnya apabila harga semua jenis makanan terutamanya ikan, sayur dan daging yang dijual di pasar telah melambung naik.
Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad sama ada harga minyak naik lagi atau bertahan pada bulan Mac kerajaan BN perlu menurunkan harga bahan bakar itu pada paras di bawah RM2 seliter. Hal itu menurut Khalid amat perlu bagi mengelakkan kenaikan berterusan harga petrol dan diesel sekiranya harga minyak mentah meningkat lebih tingga dalam bulan-bulan akan datang.
“Apakah formula untuk menentukan harga minyak di pasaran tempatan? Apakah akan berlaku jika harga minyak di pasaran dunia mencecah AS$100 setong seperti 2013 lalu?” tanya Khalid.
Sementara itu penganalisis ekonomi bebas, Albert Kwok, pula hairan melihat sikap kerajaan BN yang seolah-olah tidak mempunyai pelan khusus untuk meningkatkan semula nilai ringgit yang kini jatuh pada kadar RM4.50 untuk AS$1.
“Ini adalah paras yang teruk sekali untuk nilai ringgit berbanding dengan nilai matawang Singapura. Tidak pernah berlaku kadar ini dalam sejarah Malaysia sejak tahun 1957,” kata Albert Kwok.
Untuk harga minyak pula, Albert menjangkakan bahawa harga bahan api itu di pasaran tempatan akan terus berada pada paras yang tinggi dan mungkin akan naik lagi selepas pertengahan tahun kalau nilai matawang kita masih berada pada paras yang lemah berbanding dengan nilai matawang Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Singapura.
“Kalau keadaan ini berterusan, impot kita akan kurang kerana kita terpaksa bayar lebih dan walaupun kita mengekspot dengan banyak, ia tidak boleh menutup apa yang kita perlu bayar untuk mengimport dan justeru itu, negara kita akan kurang mengimport atau pun barangan import seperti keju, mentega, teh dan produk makanan dari luar negeri akan menjadi amat mahal,” ujar beliau.
Beliau berpendapat bahawa kerajaan tidak mampu menurunkan harga minyak kerana ringgit masih lemah. Ini menunjukkan bahawa satu punca besar masalah ekonomi negara dan masalah kos sara hidup yang membebankan rakyat miskin ialah masalah nilai ringgit.
“Kerajaan harus menyelesaikan masalah ringgit dengan secepat mungkin. Kalau masalah ini berterusan untuk jangkamasa yang panjang, maka rakyat akan terus dihimpit oleh harga barang yang tinggi kerana ia melibatkan kos bahan mentah, kos pengeluaran, kos pengilangan dan sebagainya,” tambah Albert.