“Saya rasa sedih anak saya ditangkap karena membantu orang miskin dan bekerja untuk PSM.” Demikian keluhan Raman Mariappan bapa kepada Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sarat Babu, 25, yang ditahan sejak hampir sebulan lalu di bawah Ordinan Darurat, kononnya bercita-cita menghidupkan perjuangan komunis di negara ini.
Raman menyelar kerajaan BN kerana menahan anaknya tanpa bicara, tidak membenarkan lawatan keluarga dan tidak dibenar berjumpa peguam. Sedangkan anaknya tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau mengancam ketenteraman awam.
“Saya tidak sedih Sarat ditahan di bawah Ordinan Darurat. Anak saya seorang pejuang. Dia berjuang dan kerana itulah dia ditahan. Cuma yang saya kecewa dan bimbang dia tidak dapat menghabiskan pengajian undang-undangnya.
“Dia akan ambil peperiksaan dalam masa terdekat tetapi penahanan Sarat tentu mengganggu peperiksaannya. Itu buat saya kesal dengan penahanannya,” kata Raman.
Beliau tidak sedikit pun percaya dengan tuduhan yang dikemukakan oleh pihak polis bahawa anaknya telibat dengan komunisme. Baginya anak bongsu dari 5 adik-beradik itu adalah seorang yang suka membantu dan disenangi semua pihak.
“Dia Ketua Pemuda Sosialis (PSM), tidak ada kena mengena dengan komunis. Anak saya seorang yang baik. Dia suka menolong orang.
“Sarat selalu memperjuangkan dalam isu-isu setempat. Minta bantuan dari pihak berkuasa untuk selesaikan apa-apa masalah di kawasan perumahan. Dia juga suka bantu orang susah dan miskin. Adakah kerana itu polis tangkap dia? Sebab bantu orang miskin dan bekerja dengan PSM?,” tanya Raman dalam nada sinis.
Penahanan Sarasvathy Muthu, 50, mendapat kecaman anggota keluarganya, terutama anak saudara beliau N. Sasinthra Dewi. Menurut tidak ada siapa pun akan mempercayai makciknya terlibat degan perkara yang melanggar undang-undang atau lebih buruk lagi ingin melakukan pemberontakan terhadap negara.
“Makcik saya bekerja menjadi jurumakmal di hospital selama 15 tahun. Dia melepaskan jawatan dan kerjaya yang baik semata-mata kerana ingin berjuang membantu orang miskin. Makcik saya seorang yang berani dan suka menolong orang.
“Adakah orang yang suka menolong orang miskin itu jahat? Ordinan Darurat biasanya digunakan untuk menahan penjenayah kejam. Makcik saya tidak pernah melakukan perkara-perkara yang tidak baik atau melanggar undang-undang. Dia seorang pejuang, aktivis. Mengapa menghakimi dia tanpa usul periksa?” soalnya.