Perdana Menteri Najib Tun Razak baru-baru ini menangkis kritikan di media sosial bahawa Malaysia adalah sebuah ‘negara gagal’ (failed state).
Namun pengkritik memberi amaran negara gagal tetap akan menjadi kenyataan sekiranya nilai matawang merosot dan kadar pengangguran tinggi.
“Walaupun Malaysia bukan sebuah negara gagal pada masa kini, ia bakal menjadi ‘negara gagal’ jika imej, reputasi dan nilai matawang kita terus merosot sementara kadar pengangguran, kadar jenayah, harga barang dan kos sara hidup terus meningkat,” kata seorang penganalisis politik, Albert Kwok kepada Suara pakatan daily.
Beliau menegaskan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa Malaysia pernah menjadi saluran Korea Utara dalam pemerdagangan senjata adalah satu kenyataan yang amat merosakkan imej Malaysia.
“Kalau kita gagal menangani isu ini dengan baik, ia akan membawa implikasi yang besar kepada nama baik negara di pentas antarabangsa. Dan ini adalah satu perkara yang boleh menyebabkan negara kita dilabel sebagai ‘negara gagal’.
“Jangan lupa bahawa imej negara sudah pun terjejas dengan isu 1MDB dan hal pesawat MH370 yang belum ditemui lagi sejak hilang 3 tahun lalu.
“Kerajaan kita tidak boleh berangan-angan bahawa imej Malaysia adalah baik. Rakan-rakan saya dari Singapura, Australia dan Jepun sering bergurau, rakyat Malaysia layak mendapat gelaran ‘ paling bodoh di dunia’ kalau terus menyokong pentadbiran BN,” tegas Albert.
Selain itu, menurutnya, harga barang yang sering naik adalah tanda sebuah ‘negara gagal’ dalam perjalanan untuk menjadi kenyataan.
“Malaysia akan menghadapi gelombang inflasi tidak lama lagi dan kerajaan kita pula amat perlukan wang untuk kantung negara.
“Saya berani kata demikian kerana harga minyak di pasaran dunia ada turun sedikit untuk bulan Februari tetapi mengapa harga minyak di negara kita tidak turun? Turun 5 sen pun tidak mampu,” sinis Albert lagi.