Kerajaan boleh menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia memperoleh lebih RM20 bilion penjimatan daripada rasionalisasi subsidi minyak masak dan gula, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim berkata penjimatan daripada pengurangan subsidi itu mengimbangi kerugian dalam pendapatan daripada syarikat petroleum negara, Petronas.
Katanya, Petronas selama ini digunakan untuk menyalurkan “purata RM30 hingga RM35 bilion” dalam bentuk pendapatan kepada kerajaan.
Beliau berkata untuk lebih jimat, kerajaan sepatutnya mengamalkan tender terbuka untuk semua projek dan memastikan “kerajaan yang bersih”.
“The Star melaporkan 10 tahun lalu jika kerajaan melaksanakan tender terbuka dan kerajaan bersih, kita boleh jimat RM27 bilion setiap tahun.
“Sekarang, jika kita boleh buat begitu, kita boleh hapuskan GST juga.
“Kita juga boleh beri BR1M dengan cara ini,” katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini, merujuk kepada pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diberikan kepada individu dan keluarga berpendapatan rendah.
Lim berkata demikian ketika mengulas jawapan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani terhadap soalannya di Dewan Rakyat semalam.
Johari berkata GST dan pemotongan subsidi dilaksanakan untuk mencegah defisit dalam bajet kerajaan bagi tempoh jangka panjang.
Beliau dilaporkan berkata pelan rasionalisasi subsidi membantu kerajaan apabila pendapatan daripada minyak mentah jatuh daripada RM66 bilion pada 2014 kepada RM30 bilion tahun lalu.
Johari berkata GST membawa pendapatan RM41 bilion setahun, walaupun harga minyak mentah kekal lemah. FMT