Isu penyelewengan yang berlaku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi tajuk utama media massa sejak kebelakangan ini. Dijangka kemelut tersebut akan menyebabkan pengundi di kawasan ‘simpanan tetap’ undi BN itu akan berubah angin pada pilihan raya umum ke 14. Ikuti temubual bersama Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman baru-baru ini.
Soalan: Felda dilihat mengalami masalah kecairan tunai sehingga mahu menjual aset. Pada pendapat ANAK apakah punca utama berlakunya situasi ini?
Mazlan : Isu ini bermula dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV). Ada dua benda yang FGV ambil dan mempengaruhi perjalanan kewangan Felda. Pertama, tanah Felda Plantation (FP). FP diwujudkan untuk back up kewangan Felda agar tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Ketika era Tun Mahathir, beliau melihat senario kebergantungan Felda kepada kerajaan agak serius, sedangkan lembaga ini mempunyai sejumlah tanah yang luas. Oleh itu, sampai masanya diwujudkan satu mekanisme untuk Felda berdikari dengan pendapatan mereka sendiri. FP diwujudkan sekitar 1990an, dengan kerajaan negeri membenarkan tanah 360,000 hektar ditanam kelapa sawit. Maka hasilnya selepas itu membanggakan. Laporan kewangan terakhir yang saya lihat pada 2010 menunjukkan pendapatan daripada FP sahaja RM1.4 bilion. Pada ketika itu pendapatan Felda RM2 bilion. Maknanya kekuatan Felda 75% daripada sumber FP.
Bila FP dipajak oleh FGV selama 99 tahun, kita bayangkan berapakah yang tinggal kepada Felda? Kedua, berkenaan ekuiti 51% dalam Felda Holdings (FH). FH merupakan kumpulan perniagaan Felda yang menggabungkan anak-anak syarikat dan 51% itu dahulunya dimiliki oleh Koperasi Permodalan Felda. Bila ekuiti itu berpindah kepada FGV, daripada 47 anak syarikat, diambil anak syarikat yang menguntungkan maka pendapatan Felda terjejas teruk.
Sebab itu, antara perkara yang menimbulkan bantahan daripada pegawai kanan Felda (sebelum penyenaraian), ialah kerisauan mereka di manakah Felda nak top up kekurangan pendapatan apabila tanah FP ini dipajak.
Bajet Felda setiap tahun RM1.5 – RM1.7 bilion . Maknanya pendapatan Felda amat berkurangan. Bagi saya, tidak mungkin bagi sebuah badan yang dulunya kerajaan bagi bantuan, selepas bagi tanah FP, kemudian akan berpusing balik kembali kepada 0 dan kerajaan akan top up.
Sebab itu, bila Tan Sri Shahrir jadi pengerusi Felda dia umum Felda perlukan kecairan tunai. Jual aset yang dulunya dibeli zaman Isa Samad. Kenapa terpaksa jual?
Tentulah sebab Felda mengalami masalah kewangan. Di sini saya nak persoal di manakah letak janji kerajaan (sebelum penyenaraian) untuk memastikan bajet Felda cukup setiap tahun?
Soalan: Bagaimana pula dengan isu bayaran dua kali hasil sawit yang tertangguh?
Mazlan: Sebelum penyenaraian FGV, kilang Felda tak ada masalah pembayaran. Misalnya, peneroka yang tidak bersama Felda, kira-kira 10% tetapi masih menjual buah tandan segar (BTS) ke kilang kelapa sawit Felda menerima bayaran seminggu sekali, kemudian lewat dua minggu sekali dan sekarang jadi sebulan sekali.
Kedua, peneroka yang memang bersama Felda. Mereka juga menghadapi masalah. Biasanya 20 atau 23 haribulan setiap bulan pembayaran dibuat. Sekarang lewat sampai 29 atau 30 haribulan. Kenapa situasi ini dikaitkan dengan FGV?
Sebabnya, salah satu anak syarikat Felda Holdings yang diambil sebagai sebahagian daripada ekuiti FGV adalah Felda Technoplant (FT). FT adalah agen pengurusan yang dilantik oleh peneroka untuk menguruskan kebun-kebun mereka. Maka berlakunya kelewatan ini bolehlah kita dakwa berpunca daripada pendapatan Felda yang sudah defisit.
Soalan: Banyak isu besar melanda Felda, terbaharu penyelewengan penternakan ikan Sturgeon. Patutkah Felda menceburi penternakan yang rumit seperti itu?
Mazlan: Isu projek ikan Sturgeon ini tidak diketahui menyeluruh masyarakat Felda. Projek yang mahu dibuat itu sekitar tahun 2014. Ini zaman Datuk Faizoul sebagai Pengarah Besar Felda. Projek dicadang berhampiran hutan simpan di Jerantut, Pahang. Dari awal, baik NGO alam sekitar bahkan kajian Jabatan Alam Sekitar sekali pun mendapati tidak sesuai projek ini dibuat di Malaysia.
Namun alasan kerajaan, ini projek sosio ekonomi berimpak tinggi yang harus digerakan oleh Felda. Bagi kita, logiknya macam mana ikan yang tidak wujud di Malaysia boleh diternak di sini. Yang nak dimakan bukan ikannya tetapi kaviar. Bagi kita kenapa nak meneroka satu projek yang tak ada di Malaysia?
Tetapi yang peliknya, berasaskan laporan audit negara, kajian secara spesifik tidak dibuat. Jadi ini semua perkara yang menimbulkan tanda tanya. Bagi saya yang disebut dalam laporan audit negara ialah salah guna kuasa. Projek tak mula lagi tetapi pembayaran RM47 juta telah dibuat. Maknanya jelas wang peneroka telah digunakan secara semberono dan tidak mengikut prosedur.
Soalan: Adakah peneroka faham hal-hal yang merugikan itu?
Mazlan: ANAK ada terbitkan risalah. Antaranya, mengenai laporan audit negara. Kita muatkan fakta-fakta laporan audit. Bukan sahaja isu ikan Sturgeon, termasuk juga projek restoran, projek RIDA iaitu tanam semula menggunakan teknologi satelit dan sebagainya. Projek-projek ini disenaraikan Jabatan Audit Negara terlibat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan. Berdasarkan laporan audit ANAK buat laporan polis, SPRM dan saya berpendapat ianya telah memberi kefahaman kepada peneroka.
Buktinya apabila kita edar risalah, berdasarkan maklum balas, peneroka bukan sahaja mempersoalkan isu projek ikan Sturgeon tapi bagaimana projek itu tidak bermula tetapi pembayaran telah dibuat. Ini menimbulkan perasaan tidak puas mereka.
Soalan: ANAK terlibat dalam program jelajah Felda bersama PH dan Bersatu, bagaimanakah perkembangannya?
Mazlan: Idea datang daripada taklimat ANAK kepada pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mereka kata ada tiga tempat yang menjadi fix deposit BN. Sabah, Sarawak dan Felda. Felda ada 54 parlimen dan 92 DUN. Kalau nak bentuk kerajaan negeri pun sekurang-kurangnya 3 negeri kita berdepan masalah. Di Pahang 70% DUN adalah kawasan Felda. Johor dan Negeri Sembilan nisbahnya 40%.
Pembangkang mesti menjuarai isu Felda. Kerjasama dengan Bersatu penting kerana merekalah pemimpin Umno yang selama ini mempertahankan Felda. Jadi kita lancar Jelajah Semarak Kasih Felda dan kita telah minta supaya tokoh utama seperti Tun Mahathir turut serta.
Bila Tun, Tan Sri Muhyiddin, Mohamad Sabu turun maka program kita dapat sambutan hangat. Kalau dulu kawasan Felda hendak masuk pun tak boleh. Kalau masuk ada gangguan, budak-budak motor diupah buat bising. Peneroka pula tak ramai, 20 – 30 orang. Tetapi kali ini mood perubahan itu ada.
Setakat kita buat pada 21 Januari di Felda Taib Andak, 8 Februari di Jengka 8 dan 26 Februari di Felda Raja Alias kehadiran lebih 1,000. Maknanya suatu yang ajaib macam mana peneroka Felda berani datang. Kita survey di Jengka 75% yang hadir peneroka. Dulu mereka takut nak pergi. Macam-macam ancaman, JKKK tengok siapa yang datang. Tak dapat bantuan dan sebagainya.
Namun kali ini bila mereka sanggup datang, bagi saya ini satu perubahan yang sangat baik.
Soalan: Kalau PH mengambil alih pemerintahan, apakah solusi kepada masalah Felda?
Mazlan: Soal pokok bagi saya adalah mengenai penyenaraian FGV. Saya tertarik dengan pendapat Rafizi jika dinyahsenarai FGV akan membabitkan kerugian RM6 – RM8 bilion .
Penyahsenaraian ini harus dibincang secara mendalam. Jika tidak, adakah kerajaan baru akan top up RM1 bilion setiap tahun? Kerajaan baru kena fikir hal ini. Keduanya, anak-anak syarikat yang diambil sebagai ekuiti FGV perlu dikembalikan semula kepada Felda. Ini adalah jalan penyelesaian untuk Felda kembali berdikari. Soal modal FGV, saya katakan sejak dulu, kalau mahu senaraikan mereka jangan usik harta Felda.
Dari sudut kewangan mereka kata ikut perjanjian pajakan menang ada 15 % keuntungan FGV juga premium yang dibayar kepada Felda. Jumlahnya RM508 juta setahun. Saya tak pasti FGV bayar atau tidak. Namun jumlah itu tetap jauh daripada mencukupi untuk bajet Felda. Sekarang Felda mengharapkan pelaburan daripada saham dan aset.
Soalan: Shahrir baru-baru ini memberi kelonggaran generasi kedua boleh memilih tapak perumahan di kawasan Felda. Komen?
Mazlan: Ini bukan benda baharu. Isu perumahan generasi kedua saya sudah sebut 20 tahun dulu. Antaranya saya hantar surat kepada Tun Ghafar Baba ketika itu dan kita bertemu Menteri Besar hampir di semua negeri. Kebetulan setiap rancangan Felda ada tanah rizab yang boleh dimanfaatkan untuk membina rumah generasi kedua. Kita tahu kerajaan negeri tak mampu bina rumah, tetapi boleh bagi tanah.
Namun di sini, isunya mengapakah Felda terlibat bina rumah? Sepatutnya bila PM umum dalam bajet, 20,000 unit rumah untuk generasi kedua maka ia tanggungjawab kerajaan pusat, mekanismenya kerajaan pusat yang fikir.
Peliknya, sebahagian besar projek ini Felda yang pantau. Saya difahamkan kos pembinaan RM600 juta dan Felda tak ada duit. Dari sumber manakah mereka dapatkan modal?
Sebab itu dalam 20,000 unit rumah, 11,000 yang dibina didakwa 8,000 telah terbengkalai. Ada terbengkalai peringkat tapak, separuh jalan dan ada yang sudah siap pun tidak dijual kepada anak peneroka. Contohnya di Felda Sungai Subul, Johor.
Pandangan kita, kerajaan pusat sepatutnya menyediakan kewangan mencukupi seperti projek perumahan PRIMA dan lain-lain.
Soalan: Isu tanam semula menimbulkan kemarahan peneroka. Apakah cara PH akan selesaikan isu ini?
Mazlan: Bila peneroka sertai Felda mereka perlu tandatangan perjanjian dan perlu terima syarat-syarat yang dipersetujui bersama. Antaranya tanam semula. Itu penting sebab apabila pokok kelapa sawit berusia sekitar 25 tahun maka perlu tanam semula. Ada tabung yang disediakan. Setiap peneroka dipotong hasil per ekar. Tetapi tak cukup untuk kos tanam semula. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada tabung yang diwujudkan.
Yang jadi peliknya kenapa hutang tanam semula dalam angka tak munasabah. Itu isunya. Kta lihat tanam semula Felda paling mahal dibandingkan agensi lain seperti Felcra atau syarikat swasta IOI dan Sime Darby. Jumlah kos setiap hektar bagi mereka jauh lebih rendah. Kalau kos tinggi proses tanam semula sepatutnya lebih baik tetapi proses tanam semula Felda berjalan dalam situasi tak memuaskan. Contohnya, penyediaan tapak nuseri ke kebun, bila proses tak berjalan lancar hutang akan meningkat. Setiap hutang ada faedah, dalam perjanjian ada 6.25% faedah, yang dipanggil bayaran balik daripada hutang sara hidup.
Hutang sara hidup peneroka boleh pergi sampai RM1500. Jadi hutang sara hidup itu, lagi lama hutang lagi tinggi faedah. Anggaran kelapa sawit keluarkan hasil dalam tiga tahun. Biasanya tiga tahun tak boleh keluarkan hasil yang banyak kerana buah kecil, jumlah tan masih tak cukup biayai kehidupan peneroka, maka ia (sara hidup) dilanjutkan sampai lapan tahun.
Isunya, kalau proses itu tak berjalan ikut spect sebagaimana yang dikehendaki, hutang akan bertambah tinggi. Saya rujuk salah satu aduan ketika pergi ceramah di Felda Teloi Timur, peneroka jumpa saya. Dia tunjuk penyata interim. Dia punya faedah 6.25% itu pun sudah cecah RM47,000. Belum lagi hutang pokok. Maka tidak hairan keseluruhan hutang mencecah RM130,000. Itu pun saya ambil contoh yang kecil, nanti orang kata saya menambah-nambah, sebab ada hutang yang sampai RM160,000. Bayangkan hutang sebanyak itu dengan usia peneroka 70 tahun, bila hutang akan selesai?
Saya lontar isu ini kepada PH agar kaji balik jumlah tahun dan proses tanam semua. Kedua, kaji semula kadar faedah 6.25%. Apa salahnya kalau kita menang, kita kurangkan hutang mereka. Mungkin less 50%. Katakan hutang RM100,000 bila kaji, hutang sebenar mungkin hanya RM70,000. Kita kurangkan 50% jadi RM35,000 sahaja.
Ikuti temubual penuh di dalam Suara Keadilan edisi 315 pada minggu ini