Pemimpin DAP Datuk Zaid Ibrahim meragui rancangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu berdebat dengan menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz.
“Saya tidak fikir ia akan jadi kenyataan,” katanya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebelum ini mencabar Nazri berdebat secara terbuka.
Dr Mahathir mencadangkan debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, mahupun skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku di era pemerintahannya.
Nazri memberitahu FMT semalam yang beliau sedia menerima pelawaan Mahathir selepas beliau kembali dari lawatan kerja ke Berlin pada Isnin depan.
“Saya akan balik pada 13 Mac nanti, suruh dia buat persediaan, jika dia setuju, saya boleh susun jadual.”
Kata Zaid, Nazri sudah sedia maklum tiada apa yang boleh dibahaskan tentang 1MDB.
“Semuanya halal seperti yang pernah dijelaskan oleh perdana menteri dan peguam negara,” kata Zaid kepada FMT hari ini.
Zaid juga memberi cadangan jika mahu debat itu diteruskan dengan membuat beberapa syarat yang harus dipatuhi.
“Ini termasuk tayangan secara siaran langsung kepada rakyat dengan 2 moderator yang boleh diterima kedua-dua pihak dan perbahasan ini mestiah dalam format yang biasa digunakan dalam debat politik negara lain,” katanya.
“Kabinet juga mesti benarkan Nazri untuk mewakili pendangannya mengenai kerajaan.
“Jika tidak, dia akan kata itu pandangan peribadinya.”