Pas Terengganu sekali lagi menumpukan strategi untuk menawan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak. Biar pun bersama Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, pada PRU 2008 dan 2013 Pas gagal mendapatkan semula Terengganu tetapi kali ini Pas diberitakan sangat yakin akan menumpaskan BN.
Bagaimanapun, veteran Pas yang mengetahui tahap sokongan pengundi di setiap kawasan skeptikal Pas akan kembali memerintah selepas PRU 14.
“Pas Terengganu di bawah pimpinan YB Satiful Bahari berangan-angan untuk kembali perintah negeri minyak yang pernah mereka tadbir pada 1999 hingga 2004.
“Tapi kemenangan 1999 itu atas gelombang Anwar dan bukannya atas kekuatan Pas sendiri. Buktinya pada 2004, Pas kalah teruk dan menamatkan angan-angan mereka untuk cipta rekod sepertimana Pas Kelantan, memerintah sejak 1990 hingga kini,” kata seorang veteran Pas yang enggan namanya disiarkan.
Beliau yang merupakan penyokong kuat MB Hj Hadi ketika itu berkata, rekod Pas selama sepenggal di Terengganu dibelit beberapa kontroversi dan tertanam di benak pengundi sehingga ke hari ini.
Menurutnya, terdapat dakwaan yang dipercayai rakyat ketika itu pentadbiran MB lebih dipengaruhi oleh exco tertentu dalam membuat keputusan.
“Begitu juga cara anugerah kawasan kayu balak di Terengganu yang dipertikaikan. Ia menjadi punca utama pengundi Terengganu hanya meninggalkan 4 kerusi Dun sahaja kepada Pas.
“Kemenangan tipis di Rhu Rendang (DUN Hj Hadi) dan Manir ketika itu adalah bukti pengundi tidak menyakini Pas boleh terus memerintah,” sambungnya.
Veteran Pas itu juga tidak senang dengan sikap kurang bijaksana MB Hj Hadi sewaktu mengeluarkan kenyataan kepada media yang merosotkan pengaruh Pas ketika memerintah. Katanya, hal itu lebih diingati oleh pengundi Terengganu berbanding janji Pas untuk mentadbir lebih baik berbanding BN
“Fatwa MB Hj Hadi pemberian wang ehsan adalah haram amat terkesan kepada pengundi menyebabkan mereka mengenepikan Pas.
“Post mortem yang dibuat Pas Terengganu adanya pengundi hantu hanyalah sebahagian aspek teknikal yang menyebabkan kekalahan Pas di Terengganu.Hakikatnya, majoriti pengundi sememangnya sudah tidak dapat menerima parti itu lagi.
“Yang pasti selepas Pas kalah teruk pada 2 April 2004 maka pada pagi hari itu kebanyakan warung dan kedai kopi, di mana-mana tempat kebiasaan ahli dan penyokong Pas bersembang, senyap sepi sunyi bagaikan dilanda garuda kerana malu.
“Itulah kesan kekalahan maruah Pas Terengganu.Lalu keluarlah amanat baru mantan MB Pas iaitu…’kita kalah pun tapi kita tetap mulia kerana berjaya tegakkan undang-undang Islam di Terengganu,” katanya.