Biar pun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa sudah susut daripada AS$56.47 setong kepada AS$53.32 setong tetapi harga minyak dalam negara masih tinggi disebabkan oleh kelemahan nilai ringgit.
Menurut seorang penganalisis ekonomi, Albert Kwok, kelemahan mata wang itu menyebabkan keyakinan golongan usahawan semakin menipis terhadap petandbiran PM Najib Razak dan gabungan Barisan Nasional menjelang pilihan raya umum ke 14.
Katanya, tindakan Najib memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 pula tambah mengelirukan komuniti perniagaan yang merasakan PM itu telah gagal untuk merealisasikan Wawasan 2020 walaupun Najib berkata sebaliknya.
“Kalau kos sara hidup tidak dapat diturunkan oleh kerajaan pada hari ini maka tahun 2020 pun situasi akan sama sahaja. Jangan lupa nilai ringgit sudah merosot dengan banyak berbanding dengan matawang lain di dunia,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan kenyataan PM Najib bahawa “Wawasan 2020 bukanlah satu kegagalan. Walaupun ia mempunyai kelemahan, namun ia masih mencapai sasaran”.
Bagaimanapun, menurut Albert, kos sara hidup yang melambung tinggi membuktikan kegagalan kerajaan mengawal kestabilan ekonomi yang mencetuskan inflasi melampau. Golongan miskin, katanya, tidak mampu membeli makanan secukupnya dan golongan sederhana tidak lagi mempunyai pendapatan boleh belanja mencukupi. Hal itu adalah tanda-tanda W2020 gagal dicapai.
“Juga pada hari ini, yang amat membebankan rakyat dan usahawan kecil adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan. GST pada kadar 3% ‘okay’ sebagai permulaan tetapi kita mula pada paras 6%. Kadar ini terlalu tinggi sebagai kadar permulaan.
“Di Britain mereka bermula pada kadar 2% sementara Singapura pada kadar 3%. Kerajaan memberi hujah dangkal kadar GST di Malaysia adalah terendah di rantau ASEAN. Tetapi jangan lupa bahawa negara lain sudah lama mulakan GST dan mereka mula pada kadar yang sangat rendah,” ujar Albert.