Projek Forest City di Johor Bahru kemungkinan akan menjadi projek gajah putih dan kerajaan Johor terpaksa menyelamatkannya (bailout), kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, ahli-ahli ekonomi dan pemain sektor hartanah berskala besar bimbang pasaran tempatan dan Timur Tengah tidak akan mampu mengisi lompang yang ditinggalkan di Forest City.
“Berikutan tindakan drastik Kerajaan China mengawal pengeluaran keluar modal, ramai pakar ekonomi meramalkan berlakunya lambakan projek hartanah terbengkalai khususnya di negeri Johor.
“Adalah difahamkan projek super mega Forest City yang hampir keseluruhannya mensasarkan pasaran dari negara China akan paling awal terkesan akibat daripada dasar Bank Pusat China yang menekan rakyatnya yang membeli hartanah di luar China supaya menghabiskan pinjamannya atau membayarnya di dalam negara China sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, syarikat pemaju China iaitu Country Garden yang membangunkan projek Forest City telah menutup semua pusat jualannya di China.
Ini bermakna kata Salahuddin, tidak akan ada jualan baru dan padahnya adalah cukup besar untuk mengisi saiz projek Forest City yang luasnya 1,385 hektar.
“Adakah Kerajaan Negeri Johor di bawah Team Johor pimpinan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin tidak meneliti Kajian kemungkinan (feasibility study) terhadap projek Forest City?
“Adakah pentadbiran Team Johor juga tidak sedar akan kemungkinan berlakunya gelembung ekonomi (bubble economic), gelembung spekulasi dan gelembung kewangan yang telah berlaku di Dubai dan Indonesia?” soalnya.
Media melaporkan, China melaksanakan dasar kawalan modal bagi mengekang aliran keluar mata wang Yuan.
Khalid bagaimanapun berkata rojek pembangunan Forest City di Gelang Patah tidak akan terjejas berikutan sekatan itu.
Beliau berkata projek mega di empat pulau buatan tersebut tidak hanya menumpukan pembeli dari republik itu semata-mata, sebaliknya terbuka kepada pembeli dalam kalangan masyarakat antarabangsa lain.