Penganalisis politik berpendapat pentadbiran PM Najib berkemungkinan mempercepatkan pilihan raya umum ke 14 seawal Mei ini.
Hal ini dilakukan kerana faktor ekonomi yang semakin tidak stabil dan terdapat kemungkinan berlakunya kemerosotan pertumbuhan di bawah 4% pada 2017.
Manakala tinjauan yang dibuat Suara pakatan daily ke atas orang awam turut meyakini PM tidak akan memanjangkan tempoh PRU jika harga keperluan asas tidak mampu dikawal dan menimbulkan kemarahan rakyat.
Seorang pemilik stesen minyak di Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Ramli mengakui ketidakpuasan hati rakyat lebih tinggi pada setahun kebelakangan ini berbanding sebelumnya.
“Kerajaan tidak mahu mengaku ekonomi negara sudah ‘masuk wad sakit tenat’. Sekarang pun, wang dari kutipan GST tak cukup menampung keperluan negara. Manfaat GST tidak jatuh ke tangan rakyat kerana rakyat membayar tol, kenaikan harga minyak, minyak masak dan harga barang yang tinggi.
“Mana manfaat GST untuk rakyat seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan? Lagi teruk, ramai orang sekarang terpaksa beli ubat dari luar kerana tidak mendapat bekalan cukup dari klinik kerajaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan harga minyak yang tinggi merupakan bukti nyata ketidakmampuan kerajaan BN mentadbir negara kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Sepatutnya, harga perlu disubsidikan dalam 10% atau lebih.
“Semua ini tidak dilakukan dan ia menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan BN. Sebaliknya, kerajaan kita menggalakkan terlalu banyak pelaburan dari negara China.
“Apakah maksudnya? Adakah pelaburan itu beri kerja kepada rakyat kita? Memanglah pelaburan dari China boleh digalakkan tetapi adakah bijak kalau mengambil terlalu banyak pelaburan dari hanya satu negara?” tanya Ramli lagi.
Beliau berpendapat, disebabkan oleh ekonomi yang sudah berada dalam keadaan yang teruk, ditambah pula dengan kemerosotan matawang, PRU14 tidak mustahil pada bulan Mei ini.
“Kalau September boleh ke bertahan? Saya harap kita jangan ‘meminta bantuan’ dari mana-mana negara sahabat pula. Susah untuk dibayar balik oleh cucu-cicit kita nanti,” katanya.