Menjelang muktamar pemilihan Pas pada April ini pelbagai analisis dilakukan di media massa dan laman-laman sosial.
Selain sindiran Naib Presiden Pas, Iskandar Samad wujud budaya ‘lempang melempangi’ dalam parti Islam itu, tidak kurang pula ramalan barisan kepimpinan kanan yang ada sekarang akan bertukar kerana ‘kurang walak’ dan dikhuatiri boleh beralih arah menjadi sahabat Pakatan Harapan sekiranya Presiden Hj Hadi Awang melepaskan kuasa.
Penganalisis meramalkan barisan kepimpinan kanan dipersiapkan oleh para strategis Pas sebagai persediaan jika Hj Hadi mengambil keputusan berundur atas alasan kesihatan.
Barisan kepimpinan kali ini kekal diketuai oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Namun Timbalannya diramal berubah kepada Dr Mahfodz Mohamed, Pesuruhjaya Pas Johor.
Manakala Naib Presiden yang diramal ialah Norazli Musa, Ust Mokhtar Senik dan Nik Abduh Nik Aziz.
Setiausaha Agung akan bertukar tangan kepada Ust Nasarudin Hasan Tantawi atau Dr Zuhdi Marzuki.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pula antaranya adalah Nik Mohamad Amar, Riduan Mohd Nor, Iskandar Samad, Idris Ahmad, Rosli Jabar, Arifin Deraman, Satiful Bahri, Fadhli Hasan, Fadli Ghani, Dr Zuhdi Marzuki dan lain-lain.
Ketua Penerangan dijangka disandang oleh Dr Riduan Mohd Nor; Ketua Dewan Pemuda M Khalil Abd Hadi; Ketua Dewan Muslimat
Ustazah Salbiyah.
Sementara Ketua Dewan Ulama akan disandang oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pasukan ini dikatakan dikemudi oleh ulama yang lebih tegas dan berpengalaman. Pasukan ini akan memastikan pendirian Pas sebagai kuasa ketiga dan tidak lagi wujud suara-suara sumbang yang masih inginkan parti itu bersama Pakatan Harapan sebagaimana ditimbulkan oleh Tuan Ibrahim dan Iskandar Samad.
Bagi ulama Pas, pemimpin-pemimpin itu gagal melihat kebangkitan Islam dan kekuatan Pas yang mampu bergerak sendirian tanpa bantuan PH.